BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, soalan saya apa status akad nikah pengantin lelaki lafaz "aku terima nikahnya secara tunai" sedangkan mas kahwin tersebut pengantin lelaki bagi selepas akad nikah. Pengantin perempuan sudah setuju mas kahwin diberikan selepas akad. Dan memang pengantin lelaki bagi secara lumpsum selepas 2 hari kahwin. Mohon pencerahan

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Tidak menjadi syarat sah akad nikah untuk menyebut jumlah mahar ketika akad nikah dijalankan. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat ke 236:

لَّا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ مَا لَمْ تَمَسُّوهُنَّ أَوْ تَفْرِضُوا لَهُنَّ فَرِيضَةً ۚ وَمَتِّعُوهُنَّ عَلَى الْمُوسِعِ قَدَرُهُ وَعَلَى الْمُقْتِرِ قَدَرُهُ مَتَاعًا بِالْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin (mahar) untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi "mut'ah" (pemberian) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi mut'ah itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.

Ayat ini menerangkan bahawa tidak menjadi kesalahan menceraikan isteri sebelum menetapkan kadar mahar. Ini dapat difahami bahawa akad nikah yang dilaksanakan tidak menyebut kadar mahar, dan keharusan menceraikan isteri (sebelum kadar mahar dipersetujui/akad nikah tanpa menyebut kadar mahar) menunjukkan bahawa akad nikah tersebut adalah sah.

Walaupun begitu, sunat menyebut jumlah mahar di dalam akad nikah untuk mengelakkan sebarang perselisihan. Menyatakan mahar dibayar secara tunai di dalam akad nikah kemudian meyerahkannya selepas beberapa hari atas persetujuan bersama tidak menjejaskan akad nikah. Nikahnya adalah sah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 71

message user image