BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam. Saya ada beberapa pertanyaan. Apabila seseorang meninggal dunia, jenazah terpaksa melalui proses embalming (pengawetan mayat) kerana meninggal diluar negara adakah jenazah tidak akan mereput apabila ditanam? Adakah proses embalming akan menyiksa mayat? Apa hukum sekiranya pihak keluarga berkeras untuk membawa balik jenazah untuk dikebumikan dimalaysia disebabkan itu jenazah perlu melalui procedure walaupun jenazah telah meninggal 10 hari yang lepas tetapi masih belum boleh disempurnakan proses pengebumian apakah berlaku kepada jenazah mengikut hukum agama? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Apabila seorang Muslim meninggal dunia, kita mempunyai beberapa kewajipan yang perlu ditunaikan. Bermula dengan memandikan jenazah, kafan, solat dan akhirnya mengebumikannya. Kewajipan itu merupakan fardu kifayah yang mesti orang Islam laksanakan. Antara sunah dalam kita menjalankan kewajipan itu ialah kita dituntut untuk menyegerakan pengebumian jenazah.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, pada dasarnya hukum asal mengawet mayat (embalming) melalui bahan kimia adalah haram kerana ia tidak menghormati mayat dan juga dikira menyiksa mayat. Terdapat pandangan ulama yang menyatakan bahawa tidak boleh dihinakan mahupun dikotori mayat. Ini berdasarkan hadis daripada Saidatina Aisyah RA bahawa Nabi SAW bersabda: 

إنَّ كَسْرَ عَظْمِ الـمُؤمِنِ مَيِّتًا، مِثلُ كَسْرِه حَيًّا

Maksudnya: Sesungguhnya mematahkan tulang orang beriman yang telah mati seperti mematahkan tulang orang beriman yang masih hidup. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Walau bagaimanapun, berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali ke-33 yang bersidang pada 11 Oktober 1993, mengawet mayat atas sebab-sebab yang mendesak hukumnya adalah harus.

Manakala, hukum sekiranya keluarga berkeras ingin membawa jenazah pulang dan dikebumikan di Malaysia adalah tidak digalakkan kerana ia menyebabkan jenazah lewat disempurnakan. Terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW menyuruh supaya disegerakan urusan berkaitan pengebumian jenazah dengan bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ ، فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا إِلَيْهِ ، وَإِنْ تَكُ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: Bersegeralah kalian dalam menguruskan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun, diharuskan dan dibolehkan untuk menangguh pengebumian jenazah jika mempunyai sebab yang kuat dan maslahah yang lebih besar. Misalnya terdapat syak tentang kematian, menunggu supaya dapat disembahyangkan oleh jemaah yang lebih ramai atau menunggu kedatangan ahli waris untuk melihat jenazah buat kali terakhir (selama mana tidak terlalu lama). Malahan, para ulama juga menyatakan bahawa adalah disunatkan untuk mengebumikan jenazah di tempat dia meninggal dunia. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 49

message user image