Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya semenjak ini sering ada masalah keputihan ia kerap keluar even ketika ambil wuduk pon keputihan itu keluar cuma bezanya keluar sikit atau banyak sahaja. Bila dia keluar sedikit saya sampai x rasa sebenarnya keputihan tu keluar lps solat saya check rupanya ada dan bila dia keluar banyak sehingga meleleh seperti air kencing kadang2 susah nak solat sebab keputihan dan saya sering pakai panty liner supaya tidak kena pada pakaian tetapi ada hari panty liner saya telah habis jadi saya akan pakai tuala lilit dipinggang ataupun seluar yang bersih untuk solat tetapi disebabkan keputihan kerap keluar walaupun dalam solat lepas solat saya akan sering tengok kain telekung saya takut terkena keputihan tetapi bila tengok pada kain kadang tiada ada kesan basah kadang ada kesan basah menyebabkan saya tidak yakin jika saya boleh pakai kain itu atau tidak ketika solat sebab macam saya cakap kadang2 keputihan saya keluar sedikit sampai saya tak rasa keputihan itu keluar dan saya sering tidak memakai pakaian dalam ketika solat jadi akan ada air meleleh dari kemaluan hingga ke kaki saya, saya risau jika keputihan sedikit keluar dan air meleleh dari kemaluan itu menjadi najis. kadang2 risau juga ketika solat keputihan saya keluar dan terkena pada sejadah bila check sejadah x basah tapi takut ia telah menyerap dan selalunya keputihan saya tidak berbau jadi risau nak solat atas sejadah tersebut. Adakah penyelesaian untuk masalah saya ini? dan bolehkah saya terus memakai kain telekung saya untuk menunaikan solat walaupun saya takut kesan basah itu adalah dari keputihan? bagaimana pula dengan sejadah jikalau terkena keputihan adakah boleh dipakai utk solat walaupun keputihan itu tidak kena pada tempat saya sujud hanya pada tempat saya berdiri ketika menunaikan solat?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Keputihan yang keluar daripada batin faraj ini dikira sebagai najis dan perlu dibasuh atau disucikan. Keluarnya keputihan juga menyebabkan batal wuduk atau menjadikan seseorang itu berhadas kecil seperti keluarnya air kencing.
Merujuk kepada situasi yang puan alami iaitu keluar cairan keputihan tanpa terkawal sama ada semasa berwuduk atau ketika solat, menunjukkan puan mengalami keadaan yang disebut sebagai daim al-hadath atau hadas yang berterusan. Hukumnya adalah sama seperti wanita istihadah.
Oleh itu, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh wanita yang mengalami keputihan berterusan sebelum menunaikan ibadah solat seperti berikut:
a) Sucikan diri daripada najis keputihan dengan membasuh kemaluan. Kemudian gunakan pantyliner, lampin atau seumpamanya untuk mengelakkan keputihan daipada keluar.
b) Setelah itu, sucikan diri daripada hadas dengan mengambil wuduk. Kedua-duanya (membasuh faraj dan berwuduk) mesti dilakukan setelah masuk waktu solat.
c) Segera tunaikan solat. Solat adalah sah dan tidak perlu diulang walau pun najis tetap keluar ketika sedang berwuduk dan solat.
d) Satu wuduk hanya boleh digunakan untuk satu solat fardu sahaja dan seberapa banyak ibadah sunat yang lain.
e) Ketika mengambil wuduk` hendaklah ia berniat untuk mengharuskan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang mensyaratkan wuduk. Contohnya; ia meniatkan di dalam hati; “Sahaja aku mengambil wuduk untuk solat kerana Allah Taala”. Tidak harus semasa mengambil wuduk ia berniat untuk mengangkat hadas kerana hadasnya tidak akan terangkat selama cair keputihan sentiasa mengalir keluar dari kemaluan kerana perkara tersebut membatalkan wuduk.
Kain telekung dan sejadah yang diyakini terkena cairan keputihan perlu dibasuh dan disucikan. Solat menggunakan telekung yang diyakini terkena najis keputihan adalah tidak sah. Manakala solat menggunakan sejadah yang diyakini terkena najis keputihan adalah tidak sah sekiranya sujud atau bersentuh pada najis keputihan yang terdapat pada sejadah tersebut.
والله أعلم بالصواب
Sekian, Terima Kasih.