Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz.Saya ada 2 soalan untuk bertanya.
1) Saya telah melanggar bangkai haiwan dan tak dapat dipastikan bangkai anjing, kucing atau lain2.Setibanya di rumah, saya dapati tiada kesan najis atau darah pada tayar, rim dan body kereta.Namun setelah beberapa minggu perasaan was was datang kembali bila saya pegang penutup tiub tayar untuk pam angin tayar.Adakah saya perlu sertu penutup tiub tayar dan juga tangan saya ?
2) Pada waktu malam ketika lalu di lebuhraya, saya rasa lori khinzir lalu di lorong kiri saya dan pada waktu itu hujan, adakah kereta saya perlu sertu keseluruhan nya ? Saya tak dapat pastikan jika terkena air najis khinzir sebab sudah bercampur dengan air hujan pada waktu itu.Itu saja soalan saya.Terima kasih ustaz.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
1) Perasaan was-was adalah berpunca daripada gangguan syaitan, maka seharusnya ditangani perasaan tersebut dengan memperbanyakkan isti'adha (memohon perlindungan kepada Allah SWT) supaya tidak memberi mudharat kepada diri sendiri. Dalam hal ini, jika tiada bukti yang zahir bahawa adanya ain, bau atau rasa akan sesuatu najis dan ia hanya sangkaan (keraguan) semata-mata maka kembalilah kepada hukum asal bahawa ianya suci dan tidak perlu sertu. Selain itu, beramal dengan yakin merupakan suatu tuntutan dari syarak, antara kaedah fiqah yang menyebutkan hal ini seperti:
Maksudnya: Keyakinan itu tidak dihilangkan disebabkan oleh syak (ragu-ragu).
Dalam mensyarahkan makna kaedah ini sebahagian ulama berkata: Sekiranya seseorang itu telah memastikan akan sesuatu, kemudian dia berasa syak adakah perkara yang dipastikan itu telah hilang atau tidak, maka asasnya adalah masih kekal perkara yang dipastikan itu. Maka sesuatu itu kekal di atas apa yang telah dipastikan. Justeru, tuan tidak perlu menyertu penutup tiub tayar dan juga tangan tuan hanya semata-mata mengikut syak wasangka sahaja.
2) Situasi kedua yang berlaku sama hukumnya pada soalan yang pertama. Justeru, tuan berpeganglah kepada konsep umum iaitu:
Maksudnya: Hukum asal setiap sesuatu itu adalah suci.
Oleh itu, keputusan tidak boleh dibuat dalam keadaan ragu-ragu atau was-was. Justeru, kereta yang tuan gunakan itu dianggap tiada najis yang berlaku, maka tidak perlu disertu. Hal ini kerana tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka hukum asalnya suci.
Selain itu, ragu-ragu atau syak tidak boleh dijadikan sandaran hukum. Ini dikukuhkan dengan firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 36:
Maksudnya: Sesungguhnya zhan (sangkaan) tidak dapat menandingi/mengatasi kebenaran walau sedikit pun.
Sekian, terima kasih.