BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum .. maaf jika jalan cerita saya agak panjang. tapi saya tak tahu nak buat apa sekarang. saya dalam keadaan tertekan sangat bila arwah meninggalkan saya. saya seorang ibu tunggal dan mempunyai 3 orang anak perempuan yang masih bersekolah. arwah suami saya telah bernikah dengan saya pada 27/04/2024. tujuan suami nak bernikah atas faktor umur dia yang telah berusia 59 tahun dan mempunyai sakit yang berkaitan paru-paru, kencing manis, darah tinggi. arwah ingin seseorang menjaganya dan mengisi masa lapangnya bila dia pencen pada umur 60 tahun . tarikh pencen arwah sepatutnya adalah 1/06/2024. saya ada tanya arwah adakah anak-anak arwah bersetuju dengan keputusan yang dia buat, arwah cakap anak-anak dia semua dah besar dan buat hal masing-masing dan mereka tiada masa untuk bersama dia 24jam. kami hanya sempat bersama 20 hari. pada 17/05/2024 arwah meninggal dunia akibat jantung, paru-paru dah penuh dengan air. selepas kematian arwah suami, anak2 arwah menunjukkan rasa tidak puas hati , saya dapati bahawa arwah akan mendapat wang ganjaran @ ganjaran terbitan dengan sekali bayaran selepas 1/06/2024 , sebelum saya belajar dan meneliti akta-akta, saya ingat duit ganjaran itu akan masuk pada akaun arwah dan faraid, tapi saya salah, selepas meneliti segala akta-akta , duit ganjaran itu tidak boleh di faraidkan dan waris yang layak sahaja akan menerimanya . arwah mempunya 4 orang anak lelaki yang sudah berumur lebih 21 tahun dan seorang anak perempuan yang berumur 19 tahun. saya ada menghubungi jabatan pencen dan mengesahkan bahawa balu dan anak bawah umur 21 tahun sahaja layak menerima wang ganjaran tersebut. anak-anak lelaki arwah tidak berpuashati dan meminta saya bahagikan semua duit ganjaran itu sama rata. selepas itu mereka memaksa saya untuk menerima keputusan mereka termasuk adik perempuan mereka iaitu menyuruh saya menggunakan duit ganjaran tersebut untuk membayar semua hutang yang arwah ada, serta bayar upah haji dan fidiyah arwah , juga membayar segala jenis hutang arwah. hutang arwah pada bank rakyat sudah hampir rm32k. saya dilemparkan dengan pelbagai tomahan oleh anak2 arwah, seperti " malaysia ada undang-undang, tapi undang-undang malaysia kejam , sepatutnya yang tinggal lebih lama dengan arwah( isteri lama arwah yang telah diceraikan) yang dapat ganjaran terbitan ini"  saya sangat terkilan, jika saya tahu saya akan kematian suami macam ini jadinya, saya taknak bernikah dengan arwah supaya tiada pergaduhan dan saya tak perlu sakit hati. tapi Allah sebaik-baik perancang, saya ingat saya boleh bergembira dengan arwah lebih lama lagi, tapi apakan daya , Allah lebih sayangkan suami saya. saya dah redha akan beri semua bahagian harta pusaka yang saya akan dapat kepada semua anak arwah, saya ikhlas nak lepaskan hak saya yang itu sebab itu adalah hasil titik peluh arwah semasa arwah hidup dan harta pusaka arwah ada banyak tanah dan kereta. tapi wang ganjaran ni saya tak boleh nak bahagikan sama rata, sebab saya bercadang nak guna duit tu ke arah yang lebih baik, jabatan pencen menjelaskan jika arwah tiada isteri, duit ganjaran ini akan lenyap begitu sahaja, tiada siapa boleh tuntut memandangkan arwah tiada ibu dan ayah lagi di dunia ini. saya nak pertahankan hak saya untuk wang ganjaran tersebut,

1) disini adakah saya berdosa dan dihukum jika mempertahankan hak saya tak mahu berkongsi sama rata ganjaran terbitan tersebut ? 

2) adakah saya berdosa jika saya tak bersetuju untuk menggunakan ganjaran terbitan ini untuk membayar hutang arwah, upah haji, fidiyah arwah? 

3) bolehkah saya enggan menerima harta pusaka tersebut dan memberikan semua hak saya pada semua anak arwah? 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Wang pencen dan ganjaran yang diterima selepas kematian si mati adalah disebut sebagai harta terbitan. Maka harta terbitan tidak termasuk dalam kategori harta pusaka dan tidak perlu diberi bahagian mengikut kaedah faraid. Hal ini sebagaimana dinyatakan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-21 yang bersidang pada 12 September 1988 telah membincangkan Ganjaran Terbitan Dan Pencen Terbitan:- Muzakarah telah memutuskan bahawa ganjaran terbitan dan pencen terbitan tidak termasuk sebagai harta pusaka, maka kaedah pembahagiannya tidak tertakluk kepada kaedah pembahagian harta pusaka. 

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Tidak menjadi permasalahan atau tidak berdosa sekiranya puan tidak mahu berkongsi ganjaran tersebut kerana ia tidak tertakluk kepada pembahagian pusaka yang perlu dibahagikan mengikut faraid.

2. Dalam masa yang sama, segala hutang, upah haji dan fidyah si mati tidak wajib dilangsaikan menggunakan duit ganjaran bahkan wajib menggunakan harta pusaka untuk melangsaikan hutang-hutang tersebut sebelum dibahagikan mengikut kaedah faraid.

3. Berhubung keengganan menerima harta pusaka adalah dibenarkan kerana wujud konsep tanazul haq (melepaskan hak) dalam pembahagian faraid. Maka yang demikian, tidak menjadi permasalahan sekiranya seseorang tidak mahu mengambil dan menerima hak daripada pembahagian harta faraid.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 163

message user image