BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Sejak hari pertama perkahwinan, isteri bersikap kasar dengan saya..kini usia perkahwinan menjangkau 11 tahun..

Isteri tidak pernah menyediakan makan pakai saya dari awal perkahwinan..

Bahkan saya selalu dimaki hamun dihadapan anak2 hinggakan anak2 juga tiada rasa hormat kepada saya..

Puas sudah saya buat itu ini bagi membaiki keadaan rumahtangga..

Hinggakan adakala saya berasa ingin melaknat perbuatan anak & isteri..

Mohon pencerahan berserta dalil agar dapat saya sampaikan kepada anak & isteri..


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Dalam Islam, hubungan antara suami dan isteri hendaklah didasarkan atas prinsip kasih sayang, hormat-menghormati serta bekerjasama. Perbuatan menengking suami atau berbicara dengan nada keras dan kasar adalah tindakan yang tidak sesuai dengan adab dan akhlak yang diajarkan oleh Islam bagi seorang isteri. Oleh yang demikian, Islam mengajarkan pentingnya berbicara dengan lemah lembut dan sopan terutamanya dalam hubungan kekeluargaan antara suami dan isteri. Hal ini sebagaiman firman Allah SWT di dalam Surah al-Isra' ayat ke 53: 

 وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنزَغُ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلْإِنسَانِ عَدُوًّا مُّبِينًا ‎

Maksudnya: Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.

Dalam masa yang sama, menjadi tanggungjawab bagi seseorang isteri untuk berkelakuan baik terhadap suaminya dan mentaatinya dalam perkara yang makruf. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: 

لو كنت آمراً أحداً أن يسجد لأحد لأمرت المرأة أن تسجد لزوجها

Maksudnya: Seandainya aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada seseorang yang lain nescaya aku akan menyuruh seorang wanita untuk sujud kepada suaminya. (Riwayat al-Tirmizi)

Walau bagaimanapun, suami harus sentiasa bersabar dalam menghadapi konflik antara suami dan isteri bagi mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang boleh memperburuk keadaan. Hal ini bertepatan dengan sabdaan Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah RA:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي، وَإِذَا مَاتَ صَاحِبُكُمْ فَدَعُوهُ

Maksudnya: Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Dan apabila salah seorang daripada ahli keluarga kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan berbicara tentang keburukannya). (Riwayat al-Tirmizi)

Antara apa yang boleh dilakukan oleh suami adalah berbincang serta menasihati secara baik kepada isteri akan tanggungjawab masing-masing. Perkara seperti ini juga boleh dibawa kepada Bahagian Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat selanjutnya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 62

message user image