BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Saya Fatin berumur 23 tahun. Saya ada kemusykilan berkenaan dengan rumah tangga saya. 

saya berkahwin dah hampir 2 tahun. Selepas 1 bulan pjj dengan suami, kami mengambil keputusan untuk menyewa rumah di kuantan disebabkan suami saya bekerja di kuantan. Jadi kami pulang ke kampung halaman, biasanya dalam 1 bulan sekali atau 2 bulan sekali. 

Rumah saya dengan mertua lebih kurang 15km je. Dan saya kurang selesa untuk tidur di rumah mertua kerana adik beradik suami saya ada 6 orang lelaki dan yang bongsu perempuan. Bilik suami saya digunakan oleh adik beradik lelaki, tak kira saya tidur di sana atau pun tidak. Saya terasa tak selesa berkongsi katil yang sama walaupun kalau saya ada dalm bilik adik ipar tidak masuk ke dalam bilik. Adik ipar saya semua dah ada bilik mereka sendiri. Untuk pengetahuan, ibu bapa mertua saya adalh seorang yang alim.

Selain itu, saya kurang selesa kerana ibu mertua saya seorang yang tidak sukakan kebersihan. Saya sangat tidak suka dengan kucing kalau tidur merata2 di dalam rumah sambil kencing dan berak. Makanan yang kami makan pun kadang2 kucing makan, dan mertua tetap makan maknan tersebut. Kadang lauk tumpah di dapur, di ruang tamu dibiarkan berhari2. Keluarga suami saya mengganggap bende itu perkara biasa. Baju yang terlalu banyak tidak dilipat hanya dibiarkan dilantai dan orang yang lalu lalang akan pijak baju tu sedangkan dah ada almari tapi tak digunakan. Ada juga baju yang dipakai hari2 dijadikan tempat tidur kucing. bukan saya tak kemaskan rumah, tetapi penat saya seorang yang kemas tetapi diorang biasakan diri dengan mengotorkan rumah.

 

Dari awal perkahwinan saya, mertua terlalu mengongkong hidup saya dan suami. Duit yang tetamu datang berjumpa dengan saya semasa majlis sambut menantu, ibu mertua saya ambil tak bagitau saya. Saya agak terkilan. Selepas itu, hidup suami saya dikongkong. Ape yang kami buat, perlu beritahu dia. Setiap kali berjumpa, ibu mertua dan ayah mertua akan soal siasat suami tentang kehidupan kami di rumah sewa seperti gaji, berapa lama kerja, bulan ii bayar ape, hujung minggu dan lebih2 lagi berkaitan kerja.

 

bukan saya tak mengadu dengan suami, tetapi suami saya anak mak. Susah untuk saya luah ape yang saya kurang selesa. Setiap kali nak balik kampung kami akan bergaduh untuk balik ke rumah siapa. Saya tak pernah pun bgitau untuk taknak jengguk ibu dengan ayah mertua. Saya hanya minta untuk tidur di rumah saya kerana saya selesa di situ. Saya tak rasa terkongkong dan aurat saya terjaga. Kalau saya tidur di rumah saya, lepastu kami pergi ke rumah mertua, kami akan diperli depan adik beradik yang lain kerana tidak tidur di sana sama juga dengan mertua yang akan marah2 dan buat saya kecik hati. Saya dah puas minta suami bagitau kepada mertua untuk bilik kami tidak digunakan oleh adik2 tetapi tetap sama. Mana mungkin saya tidur dalm keadaan yang berjaga2 kerana risau adik beradik masuk ke bilik. Privacy kami suami isteri pun terganggu kerana mertua tak suka saya dengan suami duduk didalam bilik lama2 dan berdua.

 

Jadi disini saya nak mintak pandangan tuan/puan, ape lagi yang patut saya lakukan. Banyak kali saya berfikir untuk berpisah oleh kerana tak tahan dengan sikap mertua yang sangat mengongkong hidup saya dan suami. Mereka tak tanya pun kehidupan kami bahagia ke tak, sihat ke tak. Yang diorang nak tahu dan setiap kali berjumpa psti berckap mengenai duit. Nak bandingkan menantu org lain yang kaya sedangkan saya tak kaya. Anak nya pun baru nak membina kerjaya. Kami percaya rezeki itu ada tapi bukan dengan membandingkan saya dengan orang lain yang dari keluarga yang kaya.

 

 

Saya pun belum memberikan zuriat kepada suami. Itu pun menjadi salah satu kelemahan saya yang membuatkan saya tersungkur akibat terlalu sakit hti oleh orang sekeliling. Keluarga mertua selalu bertnya suami kenapa saya belum boleh beri mereka cucu. Siapa lah dalam dunia ni yang taknak kan anak. 

 

Mohon tuan/puan, beri pandangan kepada saya adakah saya salah dan terlalu ikutkan emosi saya? Tolong beri nasihat kepada saya jikalau saya salah. Terima kasih kerana sudi mendengar.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Perkara utama yang seharusnya difahami terlebih dahulu adalah nafkah merupakan asas yang perlu ditanggung oleh suami. Sebagaimana yang telah disepakati oleh kebanyakan ulama, nafkah asas yang perlu ditanggung oleh seorang suami terbahagi kepada 7 perkara iaitu makanan, barang dapur, pakaian, tempat tinggal, peralatan membersihkan diri, barangan rumah dan pembantu kepada isteri sekiranya menjadi kebiasaan bagi isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja). Perkara ini adalah berpandukan firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat 233:

وَٱلۡوَٰلِدَٰتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَۚ وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

Justeru dalam hal ini, seseorang suami perlu menyediakan tempat tinggal yang sesuai mengikut hukum syarak. Antara syarat tempat tinggal yang ditetapkan oleh syarak adalah rumah itu tidak tinggal bersama dengan anak atau saudara suami yang telah baligh. Maka tidak menjadi kesalahan jika seseorang isteri enggan duduk di rumah mertua jika ia mendatangkan ketidakselesaan kepada dirinya dan lebih utama bagi dirinya tinggal di kediaman miliknya.

Namun begitu, apabila kita berkahwin dengan pasangan kita, maka secara tidak langsung kita akan mempunyai hubungan dengan ibu dan bapa mertua.Taraf dan penghormatan kita terhadap ibu bapa mertua ini sama seperti ibu bapa kita sendiri dan ada tanggungjawab yang kita perlu laksanakan kepada mereka. Mereka wajar dihormati sepertimana kita menghormati ibu bapa kita sendiri.

Memang benar, bagi sesetengah  pasangan permasalahan hubungan antara menantu dan mertua seringkali menjadi punca timbulnya konflik antara suami dan isteri. Meskipun pada zaman ini ramai dalam kalangan pasangan yang telah berkahwin tidak tinggal serumah dengan mertua, namun hal tersebut bukan bererti bahawa masalah menantu dan mertua tidak lagi terjadi. Apatah lagi kalau tinggal serumah bersama mereka, sudah pasti ruang untuk berlakunya salah faham itu terbuka luas. Ada juga mertua yang cerewet dan selalu mencampuri urusan rumah tangga anak-anak mereka sehingga anak menantu bercerai berai dan sebagainya.

Melihat kepada permasalahan yang puan nyatakan, pada dasarnya penyelesaian sesuatu masalah adalah bergantung pada diri kita sendiri. Kitalah yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang sedang kita hadapi. Namun dalam Islam, kita boleh juga merujuk atau mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak yang berautoriti seperti Bahagian Undang-Undang Keluarga di Pejabat-pejabat Agama Islam Daerah, kaunselor berdaftar atau mana-mana agensi yang berbidang kuasa. Walau bagaimanapun, akhirnya kembali kepada pasangan untuk membuat keputusan, manakah pandangan yang terbaik untuk mereka ambil bagi merungkai permasalahan yang mereka hadapi. 

Apa yang penting dalam melayari bahtera rumahtangga ini, beberapa perkara penting boleh diambil bagai menjadi panduan kepada pasangan suami isteri:

a)  Bermusyawwarah atau berbincang

Amalan berbincang ini dapat menatijahkan solusi atau keputusan yang lebih baik, tepat. Ini kerana kebiasaanya keputusan yang dibuat mengikut pandangan ramai lebih baik daripada pandangan hanya seorang individu. Libatkanlah mana-mana orang yang berilmu, berkemahiran, berkecuali dan dihormati oleh kedua-dua pihak sebagai orang tengah, ini bagi memastikan perbincangan tersebut lebih neutral dan terpandu dengan panduan-panduan syarak dan kebenaran.. 

b) Bertolak ansur atau toleransi

Kedua-dua pihak samada menantu dan mertua mestilah berusaha mengaplikasikan sikap tolak ansur dalam sebarang urusan rumahtangga. Sikap tolak ansur sangat penting dalam kehidupan berumahtangga, justeru tidak menjadi kesalahan jika suami isteri atau ibu bapa mertua berkongsi pendapat dan meluahkan perasaan masing-masing dengan terbuka. Pendapat dan perasaan pasangan perlu diambil kira dalam membuat sebarang keputusan, agar tiada pihak yang berkecil hati dan kecewa dengan sebarang solusi yang diambil pasangan.

c) Doa dan munajat kepada Allah

Doa adalah memohon kepada Allah SWT dengan meminta kebaikan dari sisiNya dengan penuh pengharapan dan bersungguh-sungguh. Setiap apa yang kita inginkan, impikan dan mengharapkan, memohonlah dan berdoalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui segalanya. Allah amat menyukai apabila hamba-hambanya berdoa walaupun sekecil-kecil perkara. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Ghafir ayat 60:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya : Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan merendahkan diri.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 432

message user image