BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada kemusykilan, pada 3 minggu yang lepas saya dan isteri bergaduh, dan saya ada cakap pada nya, " kau kemas kain baju kau sekarang, aku hantar kau balik rumah opah kau" . Adakah talak itu jatuh pada isteri saya?? Apa yang saya cakap kan itu hanyalah marah tanpa ada niat untuk menceraikan isteri saya.. harap dapat menjawab persoalan ini.. terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Terdapat dua jenis talak berdasarkan kepada lafaz yang diucapkan oleh suami. Pertama: talak sorih (jelas), dan kedua: talak kinayah (tidak jelas). Talak sorih, seperti ucapan suami kepada isteri: "Aku ceraikan engkau", atau "Aku talakkan engkau" dan sebagainya maka talak akan berlaku walaupun tanpa niat, walaupun suami hanya bergurau senda.

Yang kedua adalah talak kinayah (tidak jelas), ia seperti ucapan suami kepada isteri: "Kau bukan isteri aku", "Antara kita tidak ada hubungan lagi" "Aku hantar kau ke rumah ibubapa kau" dan sebagainya maka ia bergantung kepada niat suami. Seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak. Namun, jika suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.

Menjawab pertanyaan tuan:

Lafaz tuan yang berbunyi: "kau kemas kain baju kau sekarang, aku hantar kau balik rumah opah kau" boleh dianggap sebagai ucapan talak kinayah (lafaz yang tidak sorih atau tidak jelas). Oleh yang demikian, jatuh atau tidak lafaz kinayah tersebut, adalah  bergantung kepada niat suami. Seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak. Seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.

Dalam menentukan perkara dalaman atau batin seperti ini, pengakuan suami adalah amat penting. Ini adalah kerana pengakuan suami akan menjadi penentu sama ada talak berlaku atau pun tidak. Oleh itu, segala tanggungjawab adalah terletak di bahu suami terhadap pengakuan yang dibuat seandainya pengakuan yang dibuat adalah tidak benar. Ini berdasarkan kepada kaedah Fiqh:

نحن نحكم بالظواهر والله يتولى السرائر

Maksudnya: Kita (manusia) menghukum sesuai berdasarkan kepada yang zahir, manakala Allah SWT menentukan perkara yang tersembunyi. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 87

message user image