BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

Mohon pencerahan.

Seandainya, hamil sebelum berkahwin (1-2 bulan). Dan berkahwin dengan bapa biologi kandungan.

Kandungan dilahirkan melebihi 6 bulan.

Bolehkah di bin/bintikan kepada bapa biologi?

Bagaimanakah nasab, wali dan pembahagian harta?

Sekian terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak (FATWA) Negeri Selangor pada 28 April 2005 telah mewartakan fatwa berkaitan anak tidak sah taraf dengan sighah seperti berikut:

Anak tak sah taraf menurut hukum syarak ialah:

1. Anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau melalui cara saintifik yang bertentangan dengan hukum syarak.

2. Anak yang dilahirkan kurang daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu “Imkan ad-Dukhul” dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhat.

3. Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari segi waktu “Imkan ad-Dukhul” selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak.

Berdasarkan kepada kenyataan yang diberikan, bahawa kehamilan itu telah berlaku 1 atau 2 bulan sebelum akad nikah. Ini bermakna anak (kehamilan) itu terhasil di luar daripada akad pernikahan, walaupun bayi itu kemudian lahir selepas 6 bulan daripada tarikh akad nikah. Oleh itu, anak tersebut adalah anak tidak sah taraf. Anak itu tidak boleh dibinkan kepada bapa biologinya, kerana tidak sabit nasab dari segi syarak. Seandainya anak itu anak perempuan, maka bapa biologinya itu tidak boleh menjadi wali pernikahan anak tersebut.

Walau bagaimanapun, dari segi aurat dan mahram, hubungan mereka adalah hubungan anak dan bapa tiri, yang mana mereka tidak boleh berkahwin selama-lamanya (muharramah muabbadah) sekiranya berlaku hubungan kelamin di antara ibu yang melahirkan anak itu dan bapa biologi tersebut selepas akad nikah, dan tidak batal wuduk jika bersentuhan. Mereka juga tidak mewarisi harta pusaka di antara satu sama lain.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 28

message user image