BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assamualaikum ustaz, saya ada soalan berkenaan mengikut/ mengambil pandangan mazhab selain mazhab syafie berkenaan anjing. Dan saya juga ada masalah berkenaan was-was yang teruk. Ditempat kerja saya ada anjing. Disinki tempat basuh tangan ada kain yang digunakan oleh pekerja warga asing dan dikain tersebut ada bulu-bulu yang melekat. Saya juga ada basuh tangan disink tersebut walaupun ada melihat bulu itu.  Tapi saya tidak tahu bulu itu bulu apa sama ada dari anjing atau dari benda lain. Selain itu, saya juga tidak pasti tangan ada terkena pada kain tersebut atau tidak ketika membasuh tangan. Jadi, untuk hilangkan was-was saya boleh ke saya ambil pandangan mazhab maliki yang anjing itu bukan najis dalam situasi ini atau disituasi lain akan datang ? 

Terima kasih, ustaz. 


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, beramal dengan yakin merupakan suatu tuntutan dari syarak. Antara kaedah fiqah yang menyebutkan hal ini seperti: 

اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ

Maksudnya: Keyakinan itu tidak dihilangkan disebabkan oleh syak (ragu-ragu).

Justeru, puan perlu mengambil jalan yakin jika berlaku was-was atau syak wasangka mengikut situasi yang dialami oleh puan. Jika berlaku was-was sama ada bulu yang puan dapati ianya dari anjing atau bukan maka perlu kembali semula kepada hukum asal bagi sesuatu iaitu hukumnya suci sehingga dapat dibuktikan dengan yakin bahawa bulu itu benar-benar dari anjing kelihatan secara jelas, hal ini bertepatan dengan kaedah fiqah yang menyebutkan: 

الأصل في الأشياء الطهارة

Maksudnya: Hukum asal setiap sesuatu itu adalah suci.

Selain itu, puan tidak perlu mengambil pandangan mazhab maliki yang mengatakan bahawa anjing itu bukan najis dalam situasi ini atau situasi lain akan datang, hal ini kerana puan hanya perlu menghilangkan rasa was-was yang terdapat pada diri puan. Justeru, puan sangat dituntut untuk mengambil jalan yakin bagi setiap perkara yang melibatkan penentuan najis seperti bulu-bulu yang melekat pada singki dan dinasihatkan agar tidak mengikut was-was yang berlaku pada puan. Begitu juga, dinasihatkan agar puan membaca lebih maklumat mengenai cara menghindari rasa was-was. Lihat: 6 Cara Menjahui Was Was 

Selain itu, ragu-ragu atau syak tidak boleh dijadikan sandaran hukum. Ini dikukuhkan dengan firman Allah SWT di dalam surah Yunus: 36:

إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

Maksudnya: Sesungguhnya zhan (sangkaan) tidak dapat menandingi/mengatasi kebenaran walau sedikit pun.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 43

message user image