Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt. Saya kerja jaga dan rakan sekerja saya bukan Islam.dikawasan jagaan tiada tandas atau pili air. Jadi bila mereka nak membuang air mereka akan ke semak. selesai mereka membuang air disemak mereka duduk di kerusi. Soalan saya kotor ke kerusi itu? Bolehkah kita duduk di kerusi tu? Kalau ada masalah kencing tak lawas dan terkencing dalam seluar lepastu kita duduk di kerusi dan berbagai tempat adakah kerusi / tempat itu menjadi kotor? Betul ke kalau tersentuh najis yang kering ianya dimaafkan ( kering dengan kering )?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapatnya najis dari segi ainnya, warna, bau atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing atau selainnya sehingga hilang warna, bau dan rasa.
Merujuk kepada persoalan tuan, Islam menghukum berdasarkan sesuatu yang jelas sahaja. Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
اليقين لا يزول بالشك
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu suci dan tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal ia suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya kekal suci dan tempat tersebut tidak kotor.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.
Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 39