Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz saya nak bertanya berkenaan kucing liar yang dijilat anjing.jika air liur anjing itu sudah kering atau tidak lagi nampak ain air liur itu adakah najis di badan kucing itu boleh berpindah ke tangan saya jika saya membelai kucing itu dengan tangan yang kering atau basah
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan, najis terbagai kepada dua iaitu najis 'aini dan hukmi. Najis 'aini ialah najis yang kelihatan dan ada sifat-sifatnya sama ada warna, bau dan rasa. Manakala najis hukmi ialah yang telah hilang ain najis serta kesannya sama ada warna, bau dan rasa.
Oleh itu, jika dapat dipastikan serta mengetahui dengan yakin tempat yang terkena air liur anjing, dan dipastikan air liur itu sudah kering atau tidak lagi nampak ain air liur, maka ia dikira sebagai najis hukmi. Menyentuh tempat yang terdapat najis hukmi, sama ada dengan tangan yang basah atau kering, tidak menyebabkan perpindahan najis. Ini kerana ain najis telah tiada. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh:
نحن نحكم بالظواهر والله يتولى السرائر
Bermaksud: Kita hanya dapat menghukum dengan yang zahir dan Allahlah yang menguruskan apa yang tersirat (tersembunyi).
Memandangkan, ain najis serta kesannya telah hilang, maka tempat itu dianggap bersih, namun ia tidak suci. Untuk mensucikannya ia perlu disucikan mengikut jenis najis. Seandainya ia najis mutawassitah, maka ia perlu dialirkan atau dibasuh dengan air mutlak sekali sahaja. Jika ia dari najis mughallazah, maka ia perlu dibasuh sebanyak 7 kali yang mana salah satunya adalah air yang bercampur dengan tanah.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.
Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 45