BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, apakah hukum bagi bekas  suami isteri yang telah sah bercerai, lebih dari 2 tahun, di mana, bekas isteri telah bernikah lagi dan mempunyai anak, tetapi bekas suami telah datang melawat dan mereka bersama sama berada didalam satu rumah(milik keluarga bekas isteri) tetapi hanya ditemani mahram( anak bekas isteri bersama suami lain berumur kurang dari 1tahun) tanpa ada mahram yang dewasa atau mereka yang boleh mengcegah berlaku fitnah atau khalwat? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab soalan yang diajukan, hubungan bekas suami dengan bekas isterinya yang telah tamat tempoh iddah adalah hubungan ajnabi, lebih-lebih lagi bekas isterinya telah berkahwin dengan lelaki lain. Tidak diharuskan kepada mereka untuk bertemu atau berdua-duaan tanpa keizinan daripada suami baharu bekas isteri. Walaupun mendapat keizinan daripada suami yang baru, mereka tidak diharuskan untuk bertemu di dalam tempat tertutup tanpa ditemani oleh mahram dewasa. 

Berdasarkan kepada situasi yang dinyatakan, ia boleh membawa kepada kesalahan berkhalwat yang menjadi suatu kesalahan di dalam Seksyen 29 [1], Enakmen Jenayah Syariah Selangor: 

(a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya;

(b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya,

di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut disarankan untuk menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri terdekat.

 والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 33

message user image