Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya tentang hukum membina laman web untuk orang yang melakukan forex trading atau syarikat yang melakukan forex (untuk mempromosi trading syarikat mereka atau broker) atas dasar kerja saya sebagai Web Developer di sebuah syarikat di Malaysia (Digital Agency) yang mengambil projek untuk membina laman web untuk sesebuah syarikat atau individu.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 menyatakan:
“Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara”
Berkerja di syarikat membina laman web adalah harus dan boleh dimanfaatkan bagi kebaikan. Namun sekiranya dipergunakan kelompok yang melakukan kemungkaran, maka kita tergolong dalam kelompok yang bertolong-tolong dalam perkara kemungkaran dan dalam Islam ia adalah ditegah sama sekali.
Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 2:
وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah”.
Perkara yang melegakan adalah umat Islam dapat menjauhkan diri dari bekerjasama apatah lagi berkecimpung secara langsung dalam bidang yang dilarang Islam.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih
Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 68