BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Apakah hukum jika seseorang tu melafazkan sebegini " Tidak perlu berdoa. Allah dah tetapkan takdir. Buang masa berdoa. Pergi Mekah berdoa pon tak makbul. Palestin tetap macam tu juga walaupon satu dunia berdoa. "
Jika yang melafazkan itu seseorang yang telah berkahwin, adakah perkahwinannya terbubar.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Amalan berdoa sangat dianjurkan dalam agama Islam. Perbuatan memperkecilkan atau merendahkan doa boleh dianggap sebagai suatu tindakan yang boleh melanggar akidah bagi seseorang muslim. Justeru, berdoa merupakan bentuk pemohonan kepada Allah SWT yang Maha Agung dan Maha Mencipta. Apabila seseorang berdoa kepada-Nya, hendaklah ia dilakukan dengan penuh perasaan merendah diri, penuh pengharapan, penuh kekhusyukan dan pergantungan yang mutlak diserahkan kepadaNya. Allah SWT berfirman di dalam Surah al-A'raf ayat ke 55:

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.

Selain itu, tanggapan seseorang bahawa doa itu tidak dimakbulkan adalah bersalahan dengan konsep yang diajarkan dalam Islam. Hal ini kerana perbuatan berdoa adalah perintah daripada Allah SWT sebagaimana firmannya di dalam Surah al-Baqarah ayat ke-186:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Maksudnya: Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk.

Maka berdasarkan ayat ini, perlu kita fahami bahawa Allah SWT akan mengabulkan segala permohonan hamba-hamba-Nya. Penerimaan doa tersebut pula adalah dalam urusan Allah SWT, bahkan cara Allah mengabulkan doa itu dalam tiga bentuk sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abi Said al-Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ، وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا

Maksudnya: Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandung dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahmi, melainkan Allah SWT akan mengabulkannya dengan tiga cara: Allah akan mengabulkan doanya sesegera mungkin, Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, dan Allah akan menjauhkan darinya kejelekan. (Riwayat Ahmad)

Maka seseorang hamba yang berdoa hendaklah berdoa dengan penuh keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doanya. Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa sahaja yang ragu-ragu terhadap penerimaan Allah. Jika terdapat keraguan maka perbanyakkan beristighfar kepada Allah SWT dan bersangka baik kepada Allah SWT. Tanggungjawab sebagai hamba adalah sentiasa berdoa dan mengharap keredhaan Allah SWT. Sedangkan Allah SWT lebih Maha Mengetahui apa yang terbaik sama ada akan mengkabulkan doa itu semasa di dunia atau memberi ganjaranya di akhirat nanti.

Berhubung soalan berkenaan perkahwinan pula, maka perkahwinan tersebut tidaklah terbubar. Ini kerana, walaupun fahaman seperti itu adalah salah, namum ia tidak menjadikan seseorang terkeluar daripada Islam atau menjadi kafir.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 63

message user image