BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz/ustazah, saya ada pertanyaan. Jika seorang perempuan pernah terlanjur sebelum berkahwin dan mempunyai anak luar nikah dan perkara tersebut tanpa pengetahuan keluarga perempuan itu. Kemudian beberapa tahun selepas itu, dia berjumpa lelaki lain dan ingin berkahwin. Perempuan itu juga telah memberitahu tentang kesilapan yang dia pernah lakukan sebelum berkahwin kepada bakal suaminya. Apabila mereka berkahwin, adakah suaminya akan 'MENANGGUNG DOSA' si isteri atas sebab isteri tersebut kekal merahsiakan perbuatan dia yang pernah terlanjur dahulu daripada pengetahuan keluarga.. Adakah perlu rahsia tersebut diceritakan juga kepada keluarga perempuan tersebut? Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Suami tersebut tidak menanggung dosa, malah dalam konteks persoalan ini, adalah lebih baik suami tersebut menutup keaiban isterinya itu sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَسْتُرُ اللَّهُ عَلَى عَبْدٍ فِي الدُّنْيَا إِلَّا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi di Hari Kiamat. (Riwayat Muslim)

Ini adalah salah satu antara tanda kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-Nya iaitu Allah menyembunyikan aib hamba-hamba-Nya di dunia. Hal ini termasuk dosa-dosa yang dilakukan seseorang sepanjang hidupnya. Tiada sesiapa yang mengetahui tentang aib seseorang sehingga orang itu membongkarkannya kepada orang yang lain. Jika seseorang telah melakukan zina dan meninggalkan dosa tersebut lalu membongkarnya maka lebih besar mafsadah (kemudaratan) yang mungkin akan berlaku kepadanya. Kesannya, akan timbul perselisihan yang besar antara suami isteri, pergaduhan antara keluarga, hilang rasa hormat terhadap pasangan atau orang lain, tersebar berita yang boleh menganggu ketenteraman keluarga seseorang, malah boleh membawa kepada perkara yang dahsyat iaitu berlakunya pembunuhan atas sebab dasar tidak berpuas hati atas kesalahan itu. Dari itu, tidak disarankan bagi mana-mana orang untuk memberi tahu kepada orang lain mengenai dosa atau kesalahan yang mereka lakukan secara sembunyi kepada orang lain. 

Dinasihatkan kepada isteri tersebut untuk berusaha sehabis baik bagi mengantikan perasaan serba salah atas kesalahan yang berlaku dengan melakukan ketaatan yang lebih kepada Allah dan juga suaminya yang baru itu, dan mohonlah kepada Allah untuk dikurniakan kekuatan dan istiqamah untuk terus bertaubat dan menjadi hamba Allah yang solehah di dunia dan di akhirat. Moga dengan usaha murni itu, Allah SWT menambah sakinah, mawaddah dan rahmat serta keadaan rumah tangga yang lebih lapang dan harmoni dan lebih baik daripada sebelumnya. Firman Allah SW  dalam Surah Al-Nisa ayat 100:

وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا 

Maksudnya: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Moga Allah mengampuni dosa dan mengurniakan rahmat kepada orang yang berusaha bertaubat kepada-Nya. Diriwayatkan daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda:

 كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ، وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya:Setiap manusia pasti berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah orang yang bertaubat. (Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibnu Hibban)

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 63

message user image