Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz,
Apa hukum saya menyimpan cenderamata yang mempunyai ukiran dan tulisan mesir kuno(Seperti dalam gambar yang disertakan)?
Video cenderamata
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد
Secara umum, menyimpan sesuatu barang yang ada kaitan dengan pengamalan agama lain selain daripada Islam adalah tidak dibenarkan. Perbuatan sebegini umpama kita reda dan membenarkan pengamalan agama lain. Manakala barang yang tidak mempunyai perkaitan dengan agama atau kepercayaan lain adalah dibenarkan untuk menyimpannya.
Adapun berkaitan dengan Mesir Kuno, pada satu sudut ia adalah sebuah tamadun dan pada sudut lain ia adalah kepercayaan. Seperti sedia maklum, mesir kuno juga mempercayai kepada dewa-dewa tertentu.
Bagi menjawab soalan yang diajukan, sebaiknya untuk tidak menyimpan cenderamata tersebut kerana ia mengandungi syubhah. Tidak dapat dipastikan apakah yang tertulis dan siapakah individu yang digambarkan pada cenderamata tersebut. Dikhuatiri ia adalah firaun atau dewa-dewa kepercayaan mereka. Sekiranya hanya bentuk piramid sahaja maka ia adalah dibenarkan.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.
Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 69