BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt Prof. SS. Mufti. Maaf ingin bertanya berkenaan bab darah nifas. 
Pada hari ke-51, saya dapati yang saya mengalami naqa' tetapi darah kembali semula pada hari yang sama dan sifat darah yg keluar semula tu pun sama macam darah yang sebelum ni yakni berwarna perang. Tempoh berlakunya naqa' tersebut hanya beberapa jam shj.

Jikalau darah tersebut masih keluar dan masih belum berhenti pada hari ke-61, macam mana hukum istihadahnya? Adakah perlu ditilik sifat darah dari hari pertama berlaku nifas atau hanya tilik pada darah yang kembali semula lepas pd naqa' tu? Tambahan, saya seorang yang baru pertama kali berlaku nifas. Jazakumullahu khair Tuan Mufti.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara umumnya, menurut mazhab Shafi’i, sebanyak-banyak darah nifas bagi seseorang wanita adalah 60 hari 60 malam. Jika darah tersebut berhenti walaupun sedetik selepas tempoh maksimum tersebut, darah yang keluar selepas itu merupakan darah haid. Jika darah tersebut berhenti sebelum tempoh maksimum nifas (60 hari) ia masih dianggap darah nifas walaupun berlaku naqa dalam tempoh tersebut. 

Naqa' yang terjadi beberapa jam pada hari 51 tidak menjejaskan kedudukan nifasnya.

Oleh kerana darah yang keluar pada hari ke 60 dan 61 bersambung (tidak terhenti), berlaku percampuran darah nifas dan istihadah, jadi penentuannya merujuk kepada kaedah tamyiz atau adat nifasnya sebelum ini jika ada. Namun oleh kerana ini adalah kelahiran yang pertama maka puan masih belum mempunyai adat nifas.

Penyelesaiannya ialah dengan salah satu daripada dua kaedah di mana hendaklah didahulukan kaedah pertama dahulu jika boleh.

Pertama: Tamyiz iaitu melihat perbezaan bentuk darah dengan menjadikan darah yg kuat sahaja sebagai nifas manakala darah lemah adalah istihadah. Katakanlah 20 hari pertama darahnya berwarna hitam manakala baki hari-hari seterusnya berwarna merah, maka nifasnya hanya 20 hari dan yang selebihnya adalah istihadah.  

Kedua: Jika tidak ingat perbezaan bentuk darah atau semua darah itu sama sahaja bentuknya, maka nifasnya hanyalah sedetik sahaja krn itulah sekurang² tempoh nifas bagi yg tiada berpengalaman datang nifas. Kemudian tengok kebiasaan hari sucinya sebelum hamil atau bersalin berapa hari. Katakanlah sebelum hamil atau bersalin dia suci 20 hari dan haid 10 hari. Maka untuk ini jadikan selepas tempoh sedetik nifas itu 20 hari adalah darah istihadah, manakala hari ke 21 adalah darah haid pula selama 10 hari dan begitulah seterusnya jika darah itu belum berhenti.

Satu lagi kaedah yang dipakai ialah pendapat kedua mazhab Shafi’i iaitu adat yang dikira bagi wanita yang pertama kali nifas ialah 40 hari. Jika mengikut pendapat ini, maka 40 hari pertama dijadikan sebagai nifas, kemudian 20 hari seterusnya dikira suci (iaitu istihadah) kerana mengikut adat kebiasaan sucinya sebelum hamil, dan selepas itu jika masih ada darah maka ia adalah dikira haid. 

والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 29

message user image