Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz, saya nak bertanya
Isteri saya sebelum ni bekerja kemudian bila mengandung anak pertama dia berhenti kerja atas persetujuan bersama. Selepas 2 tahun, dia nak bekerja semula tapi saya bagitahu boleh dengan syarat dia bayar tempat asuhan anak
Apa hukum bagi saya sebagai seorg ayah dan suami dalam hal ni? Adakah saya dikira mengabai tanggungjawab kerana tidak ingin membayar tempat asuhan anak? (Pemikiran saya, isteri saya sepatutnya menjaga anak kami tapi jikalau dia nak bekerja, dia yang patut menanggung komitmen tambahan ini)
Jawapan
Perkara utama yang seharusnya difahami terlebih dahulu adalah tanggungjawab suami dalam bab nafkah. Sebagaimana yang telah disepakati oleh kebanyakan ulama, nafkah asas yang perlu ditanggung oleh seorang suami terbahagi kepada 7 perkara iaitu makanan, barang dapur, pakaian, tempat tinggal, peralatan membersihkan diri, barangan rumah dan pembantu kepada isteri sekiranya menjadi kebiasaan bagi isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja). Perkara ini adalah berpandukan firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat 233:
Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, tanggungjawab utama yang perlu dilaksanakan oleh suami adalah sebagaimana yang dinyatakan di atas.
Pada asasnya, walaupun suami membenarkan isteri untuk bekerja, tanggungjawab memberi nafkah kepada anak, termasuk bayaran asuhan adalah di atas tanggungjawab suami. Namun, sekiranya disebabkan isteri bekerja, komitmen suami bertambah dan tidak mampu menampungnya, maka bolehlah dibuat perbincangan dan mengambil kata sepakat agar isteri membantu membayar yuran tempat asuhan anak tersebut. Oleh itu, adalah dinasihatkan agar perbincangan secara hikmah dengan isteri dilakukan dan disarankan juga membuat pelan tindakan bersama bagi mengurus kewangan keluarga.
Sekian, terima kasih.