BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : JENAYAH

message user image

  Soalan

Salam Ustaz.

Saya ni dihantui dosa2 lampau.. masa zaman gelap saya.. saya suka mencuri.. pengaruh kawan pon ya..soalan saya:

1 -  Masa berlajar di asrama.. saya dan beberapa rakan banyak mencuri barang di koperasi..  alat2 tulis dan jugak makanan

2 - Masa bekerja.. saya pernah berpakat dengan rakan.. masa tu dia kerja bahagian IT  di sebuah syarikat MNC dan salah satu tugasnya ialah menjaga barangan laptop.. Sebab terlalu banyak sangat barang laptop yang dia jaga timbul lah idea yang mana dia telah berpakat dengan saya yang dia akan curi laptop keluar dan saya akan menjual laptop tersebut.mende ni jadi beberapa kali..

Sekarang saya memang buntu nak selesaikan kerana.. 

1 - saya x ingat jumlah yang saya telah ambil..kerana mende ni berlaku waktu zaman muda..

2 - Untuk kenal pasti pemilik... saya x tau owner koperasi tersebut.. dan untuk syarikat MNC tu.. sama jugak ustaz.. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Merujuk kepada persoalan saudari, apabila telah timbul kesedaran dan penyesalan pertamanya saudari mestilah bertaubat kepada Allah SWT, berdoa dan memohon keampunan-Nya di atas kesalahan masa lalu saudari.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 39:

فَمَن تابَ مِن بَعدِ ظُلمِهِ وَأَصلَحَ فَإِنَّ اللهَ يَتوبُ عَلَيهِ ۗ إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

Maksud: Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Berdasarkan kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

  1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya.

  2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin.

  3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal

Sekiranya tiada baki harta yang dicuri untuk dipulangkan kepada pemilik, sedekahkahlah harta yang ada sama ada kepada fakir miskin atau Baitumal memadai dengan nilai harta yang diyakini bagi menggantikan harta yang dicuri. Selebihnya semoga Allah SWT mengampuni dosa dan kesilapan yang dilakukan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 89

message user image