BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ingin bertanyakan berkaitan penyusuan susu ibu kepada anak angkat. Untuk makluman saya telah mengambil anak angkat daripada JKM seorang bayi perempuan berusia 2 bulan. Saya bercadang bersama isteri untuk menjadikan dia anak susuan kepada isteri saya. Namun, penyusuan kepada anak ini sedikit terganggu kerana kurangnya susu yang dikeluarkan oleh isteri saya (1 ke 2 titis sekali pam). Pelbagai kaedah rawatan yang telah digunakan namun masih menjumpai jalan buntu.

 

Pembacaan saya menjumpai pemberian susu ibu bagi mengangkat anak tersebut sebagai anak susuan adalah penyusuan 5 kali tidak kenyang dalam tempoh 2 tahun. (Rujukan saya : https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/1138-bayan-linnas-siri-70-isu-berkenaan-ibu-susuan-pelbagai-hukum-kad-atau-sijil-susuan) Persolan saya, adakah dengan pemberian susu (titisan tersebut) walaupun tidak banyak namun kerap dalam 4-5 kali sehari boleh mengangkat anak ini sebagai anak susuan sehinggalah tempoh 2 tahun.

 

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد  

Syarat menjadi anak susuan adalah bayi yang disusukan berumur tidak lebih daripada 2 tahun qamariah dan sempat 5 kali kenyang dalam tempoh tersebut. Isyarat bayi tersebut kenyang adalah apabila dia berpaling atau berhenti daripada menyusu. Firman Allah SWt di dalam surah al-Baqarah ayat 233;

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.

Saidatina Aisyah RA pernah meriwayatkan;

أنَّ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ أمَرَ امرأةَ أبي حُذَيْفةَ فأرْضَعَتْ سالِمًا خَمسَ رَضَعاتٍ، فكان يَدخُلُ عليها بتلك الرَّضاعةِ.

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW mengarahkan isteri kepada Abu Huzaifah untuk menyusu Salim lima kali dan dia telah termasuk dalam kalangan keluarganya dengan susuan tersebut.

(Riwayat Abu Daud) 

Oleh itu, memberi susu sebanyak beberapa titik tidak memenuhi syarat menjadikan bayi itu sebagai anak susuan. Sebagai alternatif, boleh susukan bayi perempuan tersebut kepada adik beradik perempuan suami yang akan menjadikan bayi tersebut tersebut sebagai anak saudara susuan suami.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 75

message user image