Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum wbt, saya berkhidmat di jabatan awam. Skop kerja jabatan kami terlibat dalam pengeluaran lesen atau permit bagi bahan kimia dan racun kepada syarikat- syarikat yang terlibat. Terdapat beberapa syarikat tersebut terlibat dalam pengilangan arak dan salah satu bahan kimia yang digunakan oleh syarikat tersebut memerlukan permit penggunaan yang dikeluarkan oleh jabatan kami. Bahan kimia tersebut digunakan untuk membersihkan mesin- mesin yang digunakan dan rawatan sisa buangan dalam penghasilan arak. Bidang kerja kami adalah, kami perlu menjalankan pemeriksaan ke atas syarikat- syarikat yang dilesenkan atau diberikan permit untuk memastikan syarikat tersebut mematuhi undang- undang. Pengeluaran lesen atau permit tersebut juga bergantung kepada hasil laporan pemeriksaan tersebut. Sehubungan itu, apakah hukumnya jika kami seorang islam menjalankan pemeriksaan ke atas syarikat tersebut? Selain itu apakah hukumnya kepada orang islam yang terlibat dalam menyokong dan meluluskan permit bahan kimia tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan; 1. Dalam konteks menjalankan tugasan dan amanah yang diberikan oleh majikan (kerajaan) hendaklah dipatuhi. Hukumnya adalah harus. Pihak jabatan perlu membuat pemeriksaan ke atas mesin-mesin di kilang tersebut agar mereka mematuhi undang-undang yang telah digubal oleh pihak kerajaan. 2. Setelah pemeriksaan dilakukan ke atas kilang, dan pihak jabatan telah berpuas hati, serta mereka juga mematuhi piawaian yang ditetapkan, adalah harus bagi pekerja muslim yang melakukan pemeriksaan tersebut memberi kelulusan permit terhadap bahan kimia yang digunakan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.