BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Asalamualaikum wbt, saya ada persoalan berkaitan nama. 

 

Nama saya merupakan Muhammad Al Qayyum. Adakah diperoleh kan nama saya seperti ini. Atau pada pandangan pihak mufti untuk saya menukarkan nama saya. Dan adakah dari segi undang undang diperoleh kan menukar nama saya. Ini kerana ada kenalan mengatakan nama saya haram. Kerana al qayyum itu merujuk kepada nama Allah swt iaitu maha berdiri di atas kaki sendiri dan Muhammad itu ialah nama nabi Muhammad saw. Mohon pencerahan. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Sebelum saya menjawab soalan yang diajukan, perlu difahami bahawa nama-nama Allah SWT boleh dibahagi kepada 3 bahagian. Bahagian pertama adalah nama yang hanya dikhususkan kepada Allah SWT sahaja dan tiada maksud selain-Nya. Contohnya seperti "Allah", "al-Rahman", "Khaliq al-Khalq" dan lain-lain. Bahagian kedua adalah yang tidak dikhususkan kepada Allah SWT sahaja bahkan berkongsi dengan nama-nama makhluk. Akan tetapi kebiasaannya ia disebut sebagai nama Allah SWT. Contohnya seperti "al-Rahim", "al-Raziq", "al-Khaliq" dan sebagainya. Bahagian ketiga adalah yang tidak dikhususkan kepada Allah SWT sahaja bahkan berkongsi dengan nama-nama makhluk secara mutlak. Contohnya seperti "al-Hayy", "al-Maujud", "al-Karim" dan lain-lain. (rujukan: Asna al-Matalib 4/243-244)

Yang dibenarkan untuk menamakan seseorang dengan nama Allah SWT adalah pada bahagian ketiga sahaja iaitu yang tidak dikhususkan kepada Allah SWT sahaja bahkan berkongsi dengan nama-nama makhluk secara mutlak. Walaupun ia nama-nama Allah SWT akan tetapi ia boleh digunakan untuk menamakan seseorang tanpa menambah perkataan "Abdul" di hadapan nama tersebut. Manakala, tidak dibenarkan kepada mana-mana individu untuk menamakan seseorang daripada nama-nama pada bahagian pertama dan kedua kerana cenderung kepada nama-nama Allah SWT. Kata al-Ramli dalam Hasyiah beliau terhadap Asna al-Matalib:

‌جواز ‌التسمية ‌بأسماء ‌الله ‌تعالى ‌التي ‌لا ‌تختص ‌به أما المختص به فيحرم

Maksudnya: Harus menamakan seseorang dengan nama-nama Allah SWT yang tidak khusus kepada Allah SWT. Manakala yang hanya dikhususkan kepada Allah SWT sahaja maka diharamkan.

Bagi menjawab soalan yang diajukan, secara zahirnya nama al-Qayyum adalah nama yang dikhususkan kepada Allah SWT. Maka haram hukumnya menggunakan nama tersebut kepada manusia kecuali jika ditambah "Abdul" di hadapan namanya. Justeru itu, wajib untuk menukar nama tersebut seperti kepada "Muhammad Abdul Qayyum". Adapaun pertukaran nama pada sudut perundangan boleh rujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 44

message user image