BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada pertanyaan berkenaan anak tidak sah taraf. Saya dan suami terlanjur sebelum berkhawin & saya melahirkan anak setelah 2bulan kami bernikah. Jadi anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada bapa kandungnya. Adakah betul sekiranya anak saya menyusu badan dengan ibu saudara iaitu kakak kepada bapanya akan menjadikan dia nasab kepada keluarga suami? Dan adakah berdosa sekiranya saya tidak mengizinkan anak saya menyusu dengan ibu saudaranya dengan alasan untuk menasabkan anak saya?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد  

Syarat menjadi anak susuan adalah bayi yang disusukan berumur tidak lebih daripada 2 tahun qamariah dan sempat 5 kali kenyang dalam tempoh tersebut. Isyarat bayi tersebut kenyang adalah apabila dia berpaling atau berhenti daripada menyusu. Firman Allah SWt di dalam surah al-Baqarah ayat 233;

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu

Saidatina Aisyah RA pernah meriwayatkan;

أنَّ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ أمَرَ امرأةَ أبي حُذَيْفةَ فأرْضَعَتْ سالِمًا خَمسَ رَضَعاتٍ، فكان يَدخُلُ عليها بتلك الرَّضاعةِ.

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW mengarahkan isteri kepada Abu Huzaifah untuk menyusu Salim lima kali dan dia telah termasuk dalam kalangan keluarganya dengan susuan tersebut.

(Riwayat Abu Daud) 

Sekiranya anak puan menyusu badan dengan kakak kepada bapa biologinya sebelum genap 2 tahun qamariah dan sebanyak 5 kali kenyang, akan menjadikan anak tersebut sebagai anak saudara susuan kepada bapa biologinya. Ia tidak menjadikan atau mensabitkan nasab anak itu kepada bapa biologinya. Tidak menjadi satu kesalahan jika puan tidak mengizinkan anak puan menyusu dengan apa jua alasan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 58

message user image