BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt.

Saya ada sebuah telaga di kampung. Pada suatu hari, ada seekor babi hutan jatuh ke dalam telaga tersebut dan mati di dalam telaga tersebut. Kami mengambil keputusan untuk tidak menggunakan air telaga tersebut. Namun sudah lebih 5 tahun insiden ini berlaku dan air telaga sudah nampak jernih. Adakah air telaga itu boleh digunakan serta apakah hukum menggunakan air telaga tersebut?

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, air mencapai dua kolah atau lebih, maka ia tidak menjadi najis walaupun dimasuki oleh najis atau bangkai binatang buas atau binatang-binatang yang lain dengan syarat tidak merubah sifat air tersebut. Sebahagian ulama berhujah dengan hadis bahawa apabila air terkena najis dan kurang daripada dua kolah maka ia menjadi najis walaupun tidak berubah salah satu sifatnya. Hal ini sama seperti hadis yang diriwayatkan dari Saidina Ibn 'Umar RA, beliau berkata: 

 سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَهُوَ يُسْأَلُ عَنِ الْمَاءِ يَكُونُ فِي الْفَلاَةِ مِنَ الأَرْضِ وَمَا يَنُوبُهُ مِنَ السِّبَاعِ وَالدَّوَابِّ قَالَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏إِذَا كَانَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يَحْمِلِ الْخَبَثَ

Maksudnya: Aku telah mendengar Rasulullah SAW ditanya tentang air di kawasan tanah lapang dan diminum oleh binatang buas dan binatang jinak. Ibn ‘Umar berkata: Rasulullah menjawab: “Apabila airnya cukup dua kolah ia tidak menjadi najis". (Riwayat al-Tirmizi)

Namun, jika air telaga itu kurang dari 2 qullah terdapat satu jalan penyelesaian untuk dijadikan air telaga itu suci dan boleh digunakan adalah kandungan air telaga itu telah silih berganti dengan air mutlak yang baharu seperti hujan yang masuk dan menggantikan air telaga yang lama tersebut. Justeru, dalam tempoh lebih 5 tahun yang tuan sebutkan, maka boleh tuan memberatkan sangkaan tuan mengatakan bahawa air telaga tersebut telah suci dan boleh menggunakannya. Tambahan pula, sifat air telaga yang tuan sebutkan tidak ada perubahan padanya kerana air telaga sudah kelihatan jernih. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 56

message user image