BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum mufti, saya ingin bertanya. Dulu, semasa saya buat diploma waktu semester akhir, saya telah meniru untuk satu subjek ni. Walaupun subjek itu tidak begitu penting untuk kursus ijazah saya sekarang, ia masih menjadi subjek yang mesti lulus jika saya ingin menamatkan pengajian dan mendapat sijil. Memandangkan saya tidak tahu markah  yang sebenarnya berapa dan  hanya tahu gred kami, saya tidak boleh membuat pengiraan yang tepat, tetapi hanya berdasarkan andaian saya, saya masih boleh lulus jika saya hanya meniru pada soalan yang saya jamin saya meniru. Tetapi masalahnya, sekarang, saya mempunyai keraguan, bagaimana jika saya menipu lebih daripada yang boleh saya sahkan. Kerana, sekiranya saya meniru lebih dari yang saya dapat pastikan, maka saya mungkin lulus secukupnya atau saya mungkin akan gagal. Sebab ini sudah setahun, ingatan saya agak kurang jelas dan saya takut saya mungkin terlupa jika saya juga meniru soalan lain. Sekarang saya sudah pun menyambung pelajaran dan insaf dari tabiat menipu dan menjadi pelajar cemerlang . Sekarang soalan saya ialah, 1. Apakah hukum menggunakan sijil yang saya tidak pasti statusnya, sama ada saya layak atau tidak jika saya tidak meniru. 2. Saya pernah terbaca pendapat ulama lain mengenai perkara ini sebelum ini, mengenai hukum menggunakan sijil yang didapatkan hasil meniru(maksudnya seseorang itu tidak boleh mendapatkan sijil jika dia tidak meniru), maka orang itu hendaklah memberitahu perkara ini kepada pihak pentadbir universiti, sama ada mereka akan menarik balik ijazahnya atau tidak. Dalam keadaan saya, adakah saya wajib berbuat demikian juga? Harap mufti dapat menjawab soalan saya. Terima kasih


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, soalan 1 dan 2 berkait antara satu sama lain. Secara umumnya, perbuatan meniru dalam peperiksaan termasuk dalam perbuatan menipu dan perbuatan menipu adalah haram serta pelakunya dianggap berdosa. Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami. (Riwayat Muslim)

Justeru, meniru di dalam peperiksaan termasuk di dalam penipuan yang tergolong dari dosa-dosa besar. Namun jika sekiranya ia sudahpun berlaku, dan pelakunya juga menginsafi akan perbuatannya tersebut dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi, di samping mampu melaksanakan tugas kerjanya dengan sempurna, maka hendaklah pelakunya itu bertaubat dengan taubat nasuha, menyesali akan perbuatannya itu dan berazam untuk tidak mengulanginya semula selama-lamanya. Adapun dosa yang lalu seperti menipu dalam peperiksaan, moga-moga Allah SWT telah mengampunkan dosa yang lalu tersebut setelah tuan menginsafi akan perbuatan itu. Perkara ini seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Ma'idah ayat 95:

عَفَا اللَّهُ عَمَّا سَلَفَ

Maksudnya: Allah maafkan apa yang telah lalu. 

Oleh itu, kami juga ingin menasihatkan supaya tuan memberbanyakkan amalan-amalan kebajikan dan beristighfar sebagai pengampun dosa yang telah dilakukan kerana sebaik-baik manusia yang melakukan kesalahan adalah mereka yang segera bertaubat kepada Allah SWT. Sijil tersebut tidak perlu dan tidak wajib memberitahu kepada pihak pentadbir universiti, sama ada mereka akan menarik balik ijazahnya atau tidak. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 45

message user image