BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum WBT ustaz,

Minta maaf ustaz, saya nak mohon pencerahan drpd ustaz..saya pernah berpuasa nazar sebulan secara berterusan jika saya sihat dr sakit saya..ketika itu keadaan saya tidak sihat dan skrg alhamdulillah saya sudah sihat dan terfikir bgaimana saya nak lunaskan puasa nazar saya itu jika di prtengahan puasa nazar trsebut saya haid? bolehkah saya sambung puasa nazar trsbut selepas haid dan cukupkan 30 hari? 

ataupun saya perlu bayar kafarrah nazar kerana tidak mampu untuk berpuasa sebulan secara berterusan. Mohon nasihat daripada ustaz. Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد 

 Pada asasnya, bernazar adalah sesuatu yang disyariatkan di dalam Islam, namun ia bukanlah sesuatu yang digalakkan atau disunatkan. Bahkan kebanyakkan ulamak menghukumkan nazar sebagai sesuatu yang makruh untuk dilakukan kerana ia mewajibkan sesuatu yang pada asalnya tidak wajib yang membebankan diri dan kadang-kala tidak dapat dilaksanakan sehingga terpaksa membayar kaffarah. Ini berdasarkan kepada hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«لَا تَنْذِرُوا، فَإِنَّ النَّذْرَ لَا يُغْنِي مِنَ الْقَدَرِ شَيْئًا، وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِهِ مِنَ الْبَخِيلِ»

Bermaksud: Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil

(RIwayat Muslim)

Merujuk kepada soalan yang diajukan, apabila seseorang perempuan bernazar untuk berpuasa selama sebulan secara berterusan, maka tempoh haid yang dialami tidak memutuskan kesinambungan hari-hari tersebut dan tidak diwajibkan qada' atau kaffarah kerana hari haid merupakan halangan untuk berpuasa dan ia merupakan ketentuan Allah SWT bukanlah pilihan manusia. Khatib al-Syarbaini dalam membahaskan isu tersebut menyatakan dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj;

الْأَظْهَرُ لَا يَجِبُ)  قَضَاءُ زَمَنِ أَيَّامِهَا (وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ، وَاَللَّهُ أَعْلَمُ) لِأَنَّ أَيَّامَهُمَا لَا تَقْبَلُ الصَّوْمَ فَلَا تَدْخُلُ بِالنَّذْرِ كَالْعِيدِ)

Maksudnya: (Pandangan yang Azhar menyatakan bahawa tidak wajib) qada' hari puasa nazar tersebut (dan itulah yang diputuskan oleh jumhur ulama' Wallahu a'lam) kerana hari haid dan nifas tidak diterima puasa padanya dan tidak termasuk dalam kategori nazar seperti hari haya.

Oleh itu, bagi melaksanakan nazar tersebut disarankan agar puan memulakan puasa pada awal mana-mana bulan Islam dan menamatkan puasa nazar tersebut di hari terakhir bulan tanpa diwajibkan qada' atau membayar kaffarah untuk hari-hari meninggalkan puasa disebabkan haid. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 31

message user image