BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

assalamualaikum tuan. saya ada keraguan utk bertanya. 

saya dapat offer kerja sbgai assistant manager kat salah 1 supermarket kat selangor. hampir semua supermarket ada jual arak&babi. so sbgai assistant manager, saya kena handle semua urusan di outlet termasuklah urusan keluar masuk non halal produk.mungkin saya tak perlu sentuh pon produk tu tp still saya kena check produk tersebut.

soalan saya, sbgai seorang muslim, haramkah duit gaji yang saya terima?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, Islam dengan jelas telah mengingatkan umatnya supaya menghindarkan diri daripada terlibat dengan apa-apa pekerjaan yang mempunyai hubung kait dengan sesuatu yang haram lebih-lebih lagi yang ada kaitan dengan arak. Berdasarkan situasi yang diterangkan maka pekerjaan yang dibuat adalah terlibat dalam urusan yang mengaitkan dengan penjualan arak.

Hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA;

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya. (Riwayat al-Tirmizi)

Jika pendapatan seseorang itu bercampur antara yang haram dan halal maka harta yang diterimanya adalah makruh kerana terdapat unsur syubhah. Sebaiknya jika mampu carilah pekerjaan yang tiada sebarang unsur-unsur yang syubhah kerana ia lebih meyakinkan dan menenangkan jiwa. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Al-Nu'man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَمَنْ تَرَكَهَا اسْتِبْرَاءً لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang meninggalkan (perkara syubhah) maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jika mengalami kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan lain, maka tanamkanlah kebencian terhadap tugasan yang ada kaitan arak dan berusaha untuk keluar dari situasi tersebut. Antara perkara yang boleh dilakukan adalah dengan mensucikan hasil pendapatan atau gaji dengan menilai kadar upah terhadap kerja yang dilakukan berkaitan urusan perkara haram tadi, dan menyerahkan atau mensedeqahkannya kepada jalan Allah. Semoga Allah mempermudahkan urusan untuk mendapatkan rezeki yang halal.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 58

message user image