Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya bekerja di syarikat pemprosesan minyak terpakai di mana minyak tersebut datang daripada pelbagai sumber yang tidak diketahui. Semasa mengendalikan sampel minyak, ada kala sample minyak tersebut akan terkena pada pakaian dan anggota tubuh badan. Apakah hukum sekiranya saya memakai pakaian tersebut untuk solat? Dan adakah bahagian anggota badan/ pakaian yang terkena minyak tersebut perlu disertu? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, melainkan jika dapat dipastikan minyak itu telah digunakan untuk memasak makanan yang tidak halal seperti khinzir dan sebagainya, maka minyak terpakai yang dikumpul yang tidak diketahui sumbernya dihukumkan sebagai suci. Ini berdasarkan kepada kaedah Fiqah:
الأصل في الأشياء الطهارة
Maksudnya: Asal (hukum) sesuatu perkara itu adalah suci.
Oleh itu, baju yang terkena minyak tersebut tidak membatalkan solat apabila dipakai untuk solat, namun lebih baik jika dibersihkan terlebih dahulu. Anggota badan atau pakaian yang terkena minyak tersebut tidak perlu disertu.