Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan/puan.
Saya mahu bertanya, sewaktu kelas, seingat saya situasinya adalah seperti pensyarah mengajarkan satu topik pengiraan dengan menggunakan formula untuk mendapatkan jawapannya. Tetapi topik yang dibincangkan ini seingat saya seperti telah saya pelajari sewaktu di kelas pada semester terdahulu di mana pensyarah yang lain lebih cenderung menggunakan platform "Excel" sebagai medium pengajaran menjadikan pengiraan lebih mudah kerana tidak perlu menghafal formula di mana kebanyakkannya telah tersedia di dalam platform tersebut. Maka, saya secara berseloroh menggunakan alasan "Excel" kerana tidak mampu untuk mengingati formula tersebut walaupun sudah hampir di tahun akhir. Tetapi setelah saya berkata sebegitu, saya tiba-tiba tersentak sendiri kerana saya khuatir bahawasanya saya telah mengumpat pensyarah sewaktu kelas terdahulu kerana cara pengajaran beliau yang cendurung menggunakan "Excel" menjadikan saya seorang pelajar yang kurang mahir membuat pengiraan secara manual. Lebih teruk, saya tiba-tiba teringat bahawasanya saya mungkin telah memfitnah pensyarah tersebut kerana mungkin topik yang sedang dibincangkan ini beliau ada mengajarnya dengan menggunakan formula, cuma pengiraannya sahaja menggunakan "Excel". Saya ada memeriksa nota kelas saya terdahulu dan saya terjumpa bahawasanya pengiraan seperti menggunakan formula dan Excel adalah digunakan sebagai kalkulator sahaja untuk mempercepatkan pengiraan. Bagaimana situasi saya ini tuan/puan? Saya berasa takut dan kurang bermotivasi untuk mempelajari subjek ini kerana teringatkan dosa saya kepada pensyarah di semester terdahulu. Untuk makluman pensyarah pada semester terkini tidak memberikan apa-apa reaksi negatif sewaktu saya berseloroh itu. Sewaktu berseloroh saya terfikir seperti majoriti pengiraan sewaktu kelas pada semester dahulu adalah automatik menggunakan "Excel" tetapi setelah itu, saya mulai terfikir bahawasanya terdapat bahagian pengiraan sewaktu kelas terdahulu menggunakan formula juga. Saya sangat takut tuan kerana merasakan saya telah berdosa kepada pensyarah kelas pada semester sebelum ini akibat kelalaian saya dalam berseloroh.
Jawapan
Mengumpat atau ghibah adalah perbuatan mencerita atau menyebut perkara yang tidak disukai oleh orang yang diceritakan. Dalam erti kata lain ia adalah perbuatan memburuk-burukkan orang lain di belakang kita. Fitnah pula adalah tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan orang lain.
Bagi menjawab soalan yang diajukan, situasi yang diterangkan oleh Tuan tiada unsur mengumpat atau memfitnah, lebih-lebih lagi Tuan tidak berniat sedemikian. Walau bagaimanapun, perbuatan berseloroh Tuan mungkin boleh dianggap sebagai kurang beradab dengan guru atau pensyarah. Mohonlah maaf kepada guru Tuan seandainya berkemampuan berbuat sedemikian bersupaya apa yang dipelajari diberkati. Seandainya tidak berkemampuan atas sebab-sebab tertentu memadai dengan sentiasa mendoakan kebaikan serta keampunan guru atau pensyarah tersebut.
Sekian, terima kasih.