Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan, saya nak bertanya berkaitan tentang lafaz-lafaz yang diucapkan oleh suami dalam keadaan marah dan ketika kami bertengkar.
Pada tahun lepas, suami pernah mengucapkan lafaz demikian iaitu "kau keluar dari rumah ni, jatuh talak nanti!" Untuk makluman tuan, ketika itu saya tidak berani keluar ke rumah selama 2 hari. Tetapi selepas pertengkaran tersebut, kami sudah berbaik. dan saya telah pun keluar ke rumah atas urusan kerja bersama suami. Soalannya, adakah talak itu jatuh sebaik sahaja saya keluar ke rumah walaupun sudah berbaik semula bersama suami?
seterusnya, suami melafazkan "jika pada umur sekian, kau tidak mempunyai apa-apa. Aku ceraikan kau". Soalannya, jika umur saya telah lanjut pada ke umur yang dimaksudkan, adakah talak itu jatuh?
saya ingin memaklumkan dua lafaz diatas berlaku sebelum saya mengandung, jika ianya jatuh, apakah status taraf anak saya sekarang?
pada malam semalam, kami bertengkar dan suami mengucapkan lafaz sebanyak 3 kali.
"Kemas barang awak, saya hantar awak ke rumah awak sekarang"
"pergi balik ke rumah mak awak sana!"
"(lafaz nama) kau keluar dari rumah ini seorang diri!"
untuk pengetahun tuan, ketika situasi lafaz ketiga itu berlaku, saya telah mencelah untuk memastikan suami berkata dengan niat. Dan sambungannya,
"Tapi, anak tinggal dengan saya"
sebaik sahaja pertengkaran tu berlaku, dan kami berbaik semula dan suami ajak bersama.
soalannya, adakah ia jatuh talak? merujuk kesemua lafaz-lafaz yang diucapkan berapakah talak itu berlaku dan jatuh pada talak ke berapa? Terima kasih.
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan:
1. Lafaz yang suami puan ungkapkan iaitu "kau keluar dari rumah ni, jatuh talak nanti!" dan "jika pada umur sekian, kau tidak mempunyai apa-apa. Aku ceraikan kau". tidak membawa kepada talak secara taklik kerana ungkapan tersebut berbentuk perkhabaran, sekiranya isteri keluar rumah, atau sampai umur sekian dan tidak mempunyai apa-apa suami akan jatuhkan talak. Sekiranya suami lafazkan talak secara sorih selepas perbuatan itu dilakukan barulah boleh menyebabkan jatuhnya talak, namun sebaliknya, jika tiada lafaz talak maka tidak jatuh.
2. Manakala lafaz suami puan yang berbunyi : "Kemas barang awak, saya hantar awak ke rumah awak sekarang", "pergi balik ke rumah mak awak sana!" dan "(lafaz nama) kau keluar dari rumah ini seorang diri!" boleh dianggap sebagai ucapan kinayah (lafaz yang tidak sorih atau jelas) yang mana lafaz kinayah ini bergantung kepada niat suami. Seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak. Namun, jika suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku. Dan dalam menentukan niat atau perkara dalaman atau batin seperti ini, pengakuan suami adalah amat penting. Ini adalah kerana pengakuan suami akan menjadi penentu sama ada talak berlaku atau pun tidak. Oleh itu, segala tanggungjawab adalah terletak di bahu suami terhadap pengakuan yang dibuat seandainya pengakuan yang dibuat adalah tidak benar. Ini berdasarkan kepada kaedah Fiqh:
Maksudnya: Kita (manusia) menghukum sesuai berdasarkan kepada yang zahir, manakala Allah SWT menentukan perkara yang tersembunyi.
Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan pengesahan yang lebih jelas rujuklah kepada Pejabat Agama Islam terdekat atau Mahkamah Syariah berhampiran sebagai pihak yang berbidangkuasa menentukan jatuh atau tidak talak.
Dinasihatkan kepada suami agar tidak mudah melafazkan talak, atau apa apa lafaz yang boleh membawa kepada talak, dibimbangi talak berlaku serta menyesal di kemudian hari.
والله أعلم بالصواب
Sekian terima kasih