Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan
Saya nak dapatkan pencerahan pada tuan.saya seorang balu yang dimana suami saya telah meninggal.Hasil perkahwinan bersama suami saya dapat seorang anak lelaki yang masih bersekolah darjah3 .Sebelum berkahwin suami telah berkahwin dan isteri nya meninggal dan ada anak seramai 4 orang.2 sudah berumah tangga dan 2 masih belum.Dan saya pula mempunyai 5 orang anak hasil perkahwinn sebelum ini.
Masalah saya sekarang ialah, saya dapat pencen terbitan dari arwah suami.saya tanggung anak anak yang bersekolah seramai 3 orang.seorang anak kepada arwah suami dan lagi 2 anak kepada arwah suami saya yang dulu.jadi duit pencen saya guna untuk sara hidup saya dan anak2.Baru2 ini anak tiri saya itu anak bujang pada arwah ada menyatakan rasa kurang enak dia meminta pula duit pencen arwah ayahnya.anak arwah sudah berumur lebih pada 21 tahun.abag dan kakak2 dia juga ada.Jadi patut ke saya setiap bulan tanggung anak tiri saya.walaupun saya bekerja tapi sekarang kos amat tinggi lebih lagi jika anak masih belajar dan anak saya ada yang di IPT begitu banyak perbelanjaan.Sekarang disebabkan keadaan yang begini anak2 tiri dah mula tarik muka dengan saya.saya tak tau nak buat apa dalam keadaan yang macam ni tuan.Ini belum lagi termasuk dengan harta peninggalan arwah suami.saya dah buat keputusan bahawa saya tolak benda2 itu semua walaupun anak saya hasil perkahwinan dengan arwah berhak dapat.itu saja tuan yang saya nak sampaikan.Terima kasih tuan
Jawapan
Merujuk kepada situasi puan, sebaiknya apabila berlakunya kematian pasangan, waris segera melaksanakan urusan faraid/ pembahagian harta pusaka agar waris-waris yang ditinggalkan tahu dan faham kedudukan dan tanggungjawab masing-masing. Ini bagi mengelakkan perkara sebegini "tarik muka" dan seumpamanya berlaku kerana anak-anak yang ditinggalkan merasakan mereka juga berhak. Keadaan ini perlu dijelaskan kepada mereka oleh orang yang berautoriti mengendalikannya.
Berkenaan pencen terbitan, ia bukanlah harta pusaka. Pencen terbitan akan diterima oleh balu dan anak-anak si mati yang berumur di bawah 21 tahun. Maklumat lanjut puan boleh rujuk Bahagian Pencen atau tempat di mana arwah suami berkhidmat atau layari link berikut untuk tindakan selanjutnya.
https://www.jpapencen.gov.my/penerima_PT.html
Tidak menjadi kesalahan jika ingin memberi sedikit duit pencen kepada anak kandung arwah, walaupun dia ada abang dan kakaknya.
Berkenaan urusan faraid sebaiknya didokumenkan (ada rekodnya) agar waris-waris faham dan menerima bahagian masing-masing dengan relahati. Oleh kerana puan menetap di Negeri Sembilan, puan boleh berurusan di Majlis Agama Islam Negeri Sembilan atau layari link berikut :
https://www.mains.gov.my/v2/wakaf/perkhidmatan-mal/perkhidmatan-dalam-mal/runding-cara-faraid
Manakala, tanggungan nafkah anak-anak puan bersama suami terdahulu, jika puan tidak berkemampuan, boleh mohon bantuan dari wali kepada anak-anak tersebut (sebelah bapa mereka) atau anak-anak puan yang telah bekerja boleh bantu adik-adik mereka yang masih belajar. Tanggungan nafkah adalah mengikut kemampuan masing-masing. Merujuk kepada Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003, Seksyen 73 (2) - Kewajipan Menanggung Nafkah Anak - menyatakan bahawa;
(2) Kecuali seperti yang disebut terdahulu, menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak, untuk menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak jika bapa kanak-kanak itu telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika ada setakat yang bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka.
Sesungguhnya, jika semua pihak dalam perwalian memainkan peranan dan tanggungjawab menjaga kebajikan anak-anak, lebih-lebih lagi anak yatim yang telah kematian bapanya, maka mereka akan di beri ganjaran yang sebaik-baiknya oleh Allah SWT. Disamping menjaga hubungan silaturrahim, hubungan disebabkan darah daging atau nasab/ keturunan lebih utama di dahulukan keperluannya berbanding orang lain.
Sekian, terima kasih.