Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya jika sahkah jika kita membeli duit asing melalui aplikasi WISE ketika nilai duit asing itu lebih rendah dari duit Malaysia? Setiap kali pembelian ada fi tetapi sedikit sahaja sebagai contoh (100 USD > Fee: RM2.66) . Saya berniat untuk pergi ke negara tersebut dan menggunakan duit dari aplikasi itu. Apakah hukumnya jika saya membelanjakan duit tersebut, atau jika saya convert kembali duit tersebut dari USD kepada RM dan membelanjakannya di Malaysia?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umumnya penggunaan aplikasi WISE adalah sama seperti aplikasi e-wallet lain, ia adalah harus selagimana tiada unsur gharar (tidak jelas) dan riba yang diharamkan. Jika kadar tukaran yang berlaku adalah jelas, dan semua pengguna aplikasi ini mengetahui jika berlaku kenaikan kadar tukaran atau pengurangannya, maka tiada lagi isu gharar yang berlaku. Caj yang dikenakan juga tidaklah menjadi kesalahan. Oleh itu, harus membelanjakan duit yang ditukar melalui aplikasi WISE.
Sekian, terima kasih.