Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum Tuan/Puan,
Apakah hukum memakai wifi dengan cara begini
Situasi : Adik saya membawa telefon pintar ayah saya untuk mendapatkan password wifi daripada jiran saya, Selepas itu jiran saya telah memasukkan password tersebut kedalam telefon pintar ayah saya. Kemudian saya mengambil telefon pintar ayah saya dan tersedar yang ayah saya telah menggunakan wifi dari jiran. Selepas itu, saya dapat melihat password wifi tersebut dalam telefon pintar ayah saya lalu memasukkan password tersebut kedalam telefon pintar saya. Dan saya terus menggunakannya. Apakah hukum saya menggunakan wifi jiran saya dengan mendapatkan password seperti ini. Adakah ini dikira sebagai menggunakan wifi jiran saya tanpa izin ?
Itu sahaja mohon pencerahan terima kasih,
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Hukum menggunakan wifi jiran tanpa keizinannya adalah haram. Seharusnya tuan meminta izin terlebih dahulu bagi kegunaan tersebut. Dalam konteks ini, perbuatan ini boleh disamakan dengan mencuri harta orang lain iaitu menggunakan harta dengan secara batil.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 29:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).
Juga sabda Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA:
لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا بِطِيبِ نَفْسِهِ
Maksudnya: Tidak halal mengambil harta seseorang Muslim kecuali dengan kerelaan dirinya.
(Riwayat al-Daruqutni)
والله أعلم بالصواب
Sekian. terima kasih