Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya ingin bertanyakan soalan.
Jika saya sebagai seorang suami pernah memberikan mesej bertulis kepada isteri saya seperti ini, "Esok kita pergi ke mahkamah syariah, selesaikan semuanya depan hakim melalui proses fast track".
Adakah berlakunya talak secara tak langsung? Utk info, saya tidak pernah melafazkan talak kpd isteri dan kami tidak pergi pon ke mahkamah syariah. Mohon pencerahan.
Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, ucapan suami kepada isteri melalui mesej: "Esok kita pergi ke mahkamah syariah, selesaikan semuanya depan hakim melalui proses fast track" adalah bersifat pernyataan untuk menyelesaikan urusan penceraian di Mahkamah secara fast track, dan bukan kenyataan menceraikan isteri secara kinayah (kiasan).
Walau bagaimanapun, untuk mendapat kepastian sila rujuk ke Unit Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah terdekat di mana saudara tinggal.
Sekian, terima kasih.