BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum saya ingin menanyakan 1 soalan berkaitan harga emas arwah ibu saya. Ibu saya ada emas yang pajak dekat ar-rahnu dan emas sekarang tebus oleh kakak saya selepas kematian ibu saya. Soalannya adakah emas yang ditebus itu menjadi sepenuhnya hak milik kakak saya atau emas itu perlu difaraidkan?

 

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Ar-Rahnu atau disebut sebagai pajak gadai adalah satu platform yang diharuskan dalam konsep muamalat Islam. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke-283:

وَإِن كُنتُمْ عَلَىٰ سَفَرٍ وَلَمْ تَجِدُوا كَاتِبًا فَرِهَانٌ مَّقْبُوضَةٌ 

Maksudnya: Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang).

Berikutan soalan yang diajukan, perkara yang perlu difahami ialah barang gadaian adalah hak milik penggadai. Hal ini kerana, pemegang gadaian hanya menahan harta tersebut sehingga hutang yang diberikan langsai dan barulah harta tersebut dipulangkan.

Diharuskan kepada mana-mana waris untuk menebus emas tersebut, namun emas tersebut kekal milik ibu dan menjadi harta pusaka yang wajib difaraidkan. Walau bagaimanapun, waris yang menebus emas tersebut berhak menebus atau mendapatkan semula nilai wang yang telah digunakan untuk menebus emas tersebut. Dalam hal ini, kakak yang telah menebus emas tersebut mempunyai 2 pilihan selepas perbincangan dengan ahli waris yang lain:

1. Menjual emas tersebut. Hasil daripada jualan tersebut, kakak berhak mengambil semula nilai wang yang telah digunakan untuk menebus emas itu dan baki hasil yang tinggal hendaklah dibahagikan secara faraid di antara waris termasuk kakak.

2. Nilaikan harga emas tersebut dan tolak nilai harga emas itu dengan wang yang digunakan oleh kakak untuk menebus emas itu. Baki daripada nilai harga emas tersebut dibahagikan secara faraid kepada para waris dan kakak membayar bahagian faraid tersebut kepada waris yang lain, maka emas tersebut menjadi milik kakak.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 63

message user image