Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya status halal/haram penggunaan alkohol dalam produk cthnya kosmetik dan beeswax? Alkohol ini tidak sama dgn air minum yg memabukkan.
Terima kasih
Jawapan
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:
- Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walau bagaimanapun, bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
- Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
Bagi menjawab soalan yang diajukan, penggunaan alkohol dalam kosmetik adalah dibenarkan dan diharuskan jika ia selamat digunakan dengan tidak memudaratkan badan serta alkohol tersebut tidak dihasilkan daripada penghasilan arak.
Sekian, terima kasih.