BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya seoran student. Situasinya bgini, bilik kami tidak bertikar dan selalu memakai kasut di dalamnya. Suatu hari, saya berjalan dan saya terpijak bekas tapak kaki anjing yang bertanah di atas simen/ mozek. Saya terpijaknya pada tapak kasut saya. Selpas pada itu, saya masuk ke dalam bilik saya menggunakan kasut tdi. Persoalnnya, 

1) apakah selipar/kasut saya bernajis kerana saya sudah yakin terpijak bekas tapak kaki anjing yang bertanah di atas simen tersebut pada tapak kasut saya.

2) Adakah lantai bilik saya juga turut bernajis? Kerana saya telah membawa/memakai kasut di dalam bilik tersebut..

3) Dan kalau lantai itu bernajis, saya sdh pernah terpijaknya dengan tapak kaki saya yang basah. Apakah saya perlu menyertu kaki saya? Bagaimana pula dgn seluar, kerusi, bahkan tmpt tdr saya dan alatan-alatan lain yang terkena lantai dan kaki saya yang basah itu? Adakah perlu di sertu juga?

 

Terakhir, bagaimanana jika seseorang itu pernah terpegang/terpijak najis anjing kemudian mencuci tgn atau kakinya seperti biasa sahaja dahulu kemudian esok hari baru menyertunya. Apakah boleh? Dan kalau tidak boleh, bagaimana dengan pakaian, alatan-alatan yang sdh terkena tgn atau kaki tersebut? Adakah perlu ikut disertu juga? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapatnya najis dari segi ainnya, warna atau bau. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing atau selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. 

Islam menghukum berdasarkan sesuatu yang jelas sahaja. Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.

Merujuk kepada persoalan tuan:

1) Bekas tapak kaki anjing tidak perlu disertu melainkan sekiranya diyakini terdapat najis anjing padanya. Sehubungan itu selipar/kasut tuan tidak bernajis. Cukup sekadar dibasuh sahaja selipar/kasut tersebut.

2) Oleh itu, lantai bilik turut tidak bernajis.

3) Tidak perlu dibasuh lantai tersebut kerana ianya tidak bernajis. Lantai tersebut kekal bersih dan suci, ini kerana pada asalnya, sesuatu itu suci dan tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna.

4) Dalam bab bersuci daripada najis ini, perlu dipastikan dengan yakin telah memegang atau memijak najis anjing. Bukan sekadar andaian terpegang/terpijak sahaja. Sekiranya telah memegang atau memijak najis anjing maka perlu terus sertu ke atas anggota yang terkena najis. Jika sekadar membasuhnya dengan air, maka anggota tersebut bersih tetapi tidak suci daripada najis iaitu dianggap sebagai bernajis hukmi dan tidak sah solat kerana menanggung najis. Namun segala benda yang terkena anggota tersebut tidak perlu disertu kerana tiada kesan najis yang berpindah secara zahir. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 27

message user image