Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam
Saya dan adik perempuan saya sedang menjaga ibu yang sakit nyayok di kuala lumpur. Ibu saya serba serbi harus dibantu, makan minum, mandi, buang air kecil dan besar pendek kata seperti menjaga anak kecil. Tiada sebarang isu kami bersama sama menjaga ibu.
Saya perlukan bantuan dan penjelasan agar faham, isu menjaga ibu yang sakit.
Adik ipar suami kepada adik perempuan saya, ingin menghantar ibu saya pulang ke kampug di perak untuk dijaga oleh adik lelaki saya yg tinggal di rumah pusaka. Adik lelaki berumur 49thn dan tidak berkahwin. Adik saya seorang penagih dadah dan masih menagih. Saya rasa bersalah, muskhil, risau kalau ibu dihantar pulang dijaga oleh adik dikampung.
Saya faham niat adik ipar baik, dan adik ipar saya juga seorang yang baik dan bertanggungjawab. Saya sudah bberbincang dengan adik ipar menerangkan baik buruk/ bahaya untuk menghantar ibu kekampung untuk dijaga oleh adik lelaki dikampung. Dengan alasan dia mahu anak2 lelaki ibu dikampung juga diberi peluang menjaga ibu. Tapi adik ipar masih bertegas ingin mencuba ibu dijaga dikampung oleh adik lelaki disana. Untuk makluman tuan bapa kami telah meninggal dunia.
Adakah masih relevant hukum anak lelaki wajib menjaga ibu dalam keadaan adik saya yang masih menagih?
Mohon penjelasan dan bantuan.
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan:
Berbuat baik (ihsan) kepada ibu bapa merupakan tuntutan syarak berdasarkan Firman Allah SWT dalam surah al-Isra ayat 23:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
Maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah!", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
Penjaga kepada ibu tidak semestinya dalam kalangan anak lelaki, malah boleh juga dilakukan oleh sesiapa sahaja dalam kalangan anak-anak atau orang luar. Tanggungjawab anak kepada ibu yang disebutkan dalam kitab Fiqh adalah memberi nafkah kepada ibu jika ibu tersebut fakir dan ketiadaan suaminya (ayah) yang merupakan penanggung nafkahnya yang asal. Nafkah bermaksud semua keperluan asas manusia, seperti makanan, minuman, pakaian dan juga tempat tinggal. Dalam kitab Fiqh al-Manhaji, disebutkan bahawa "Jika kedua-dua ibu bapa fakir dan mempunyai furu’ (anak-anak) yang setaraf (dari sudut kerabat) dalam kalangan mereka, kesemua furu’ itu mesti memberi nafaqah kepada ibu bapa mereka. Hal ini demikian kerana mereka mempunyai sebab wajib nafaqah. Bahagian nafaqah yang perlu dikeluarkan oleh perempuan adalah setengah bahagian lelaki, sebagaimana pembahagian pusaka."
Berdasarkan soalan di atas, tiada masalah untuk membenarkan anak lelaki yang berada di kampung atau sesiapa sahaja asalkan dia mampu menjaga ibu. Namun, keadaan adik yang masih menagih dadah perlu dipertimbangkan dan pihak adik-beradik mestilah menilai kemampuan adik lelaki tersebut untuk menjaga ibu. Jika dibimbangi tidak dapat menjaga ibu sewajarnya dielakkan. Hal ini memerlukan kepada perbincangan yang baik sesama ahli keluarga dan syarak tidak menetapkan kewajipan terhadap individu-individu tertentu untuk menjaga ibu. Perkara yang menjadi kewajipan adalah dari sudut pemberian nafkah sebagaimana yang diterangkan di atas.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.