BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum...soalan saya,adakah bercakap cakap seorang diri itu dinamakan was was?sebab saya ada penyakit bercakap cakap seorang diri,dan perkara ni susah untuk saya elak..kadang kadang berkata kata dalam hati..sampaikan saya bercakap cakap soal akidah..contoh saya berkata "aku nak keluar Islam" dan sementara tu, "saya berkata pula,saya tak nak keluar Islam" dan saya mengucap dua kalimah syahadah..perkara ni terjadi di hari perkahwinan saya..saya cuba elak perkara ni..sejujurnya saya tak nak..sampai sekarang saya cuba elak perkara ni..soalan saya adakah sah perkahwinan saya?tolong saya ustaz.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Secara asasnya sebarang bentuk keraguan dalam soal keimanan atau akidah, ia boleh merosakkan akidah seseorang. Ini kerana keyakinan akidah Islam mestilah dalam bentuk keyakinan yang seratus peratus yakin, tidak boleh wujud sedikit pun perasaaan syakwaham dan zan. Walau bagaimanapun, kadang-kadang diri seseorang tidak mampu untuk mengelak daripada lintasan-lintasan hati atau perkataan-perkataan yang mugkin keluar dari mulutnya bertentangan dengan iman. Kadang-kadang ia timbul secara tidak disangka-sangka dan bukan sengajakan. 

Dalam persoalan yang puan utarakan, sekiranya bercakap seorang diri itu adalah sesuatu yang di luar kawalan saudari dan ia semacam penyakit yang selalu menganggu puan, maka mana-mana perkataan yang mungkin boleh menyebab membatalkan iman tidaklah berlaku, selagimana ia tidak mempengaruhi iman seseorang secara zahir seperti dengan sengaja melafazkan perkataan mengaku kufur atau menyembah selain Allah secara zahir dan sebagainya. Ia sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku apa yang diwaswaskan dengannya di dalam hatinya selagimana dia tidak melakukan atau mengatakan (apa yang diwaswaskan). (Riwayat al-Bukhari)

Dan perkataan "aku nak keluar Islam" pun bukanlah perkataan yang jelas untuk keluar Islam, ia hanyalah bersifat cadangan sahaja, maka puan tidak perlu risau, perkataan tersebut tidaklah menyebabkan terbatalnya iman sesorang muslim dan juga tidak menyebabkan perkahwinan puan menjadi tidak sah.

Tindakan puan untuk segera bertaubat, beristighfar, sentiasa melazimi zikir serta segera melafazkan dua kalimah syahadah adalah tindakan yang betul dan tepat. Semoga tindakan seumpama ini sentiasa dilaksanakan agar hati kita sentiasa ingat kepada Allah dan dijauhkan dari bisikan-bisikan syaitan yang boleh memesongkan iman dan amalan kita. Jika terdapat lintasan-lintasan tersebut maka abaikan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 50

message user image