Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
1. ada mazi di atas lantai bilik air. Saya tidak memikirkannya kemudian mandi. Saya menggunakan banyak sabun, jadi sudah tentu sabun yang mengalir dari badan saya dan sampai ke lantai bercampur dengan mazi, jadi sabun di lantai sudah najis. lepas mandi saya basuh kaki saya, tapi masih ada rasa licin sabun di kaki saya. soalan saya, adakah kaki saya masih najis atau hanya ia memang sifat sabun yang meninggalkan rasa licin.
Saya sua hos air untuk membiarkan air sampai ke bahagian atas dan bawah kaki saya, dan juga di antara jari kaki saya, tetapi rasa licin itu masih ada. beberapa kali basuhan pun, kaki saya tetap licin.
adakah kaki saya masih najis?
2. lepas saya kencing, dan satu dua titik kencing jatuh ke lantai bilik air yang basah, adakah seluruh lantai bilik air itu najis, atau cukup sekadar basuh area yang terkena kencing itu sahaja sehingga saya rasa ia bersih?
3. sekiranya badan saya ada najis, contohnya seperti di kemaluan dan testikal saya, bolehkah saya terus basuh kedua duanya terus dengan sabun dan air tanpa perlu suakan air mutlak dahulu?
kerana. kalau saya suakan air mutlak ke kemaluan saya dahulu, saya rasa air yang mengalir dari kemaluan saya yg sampai ke testikal tidak cukup untuk menyucikan testikal saya yang masih bernajis.
sekaligus aliran air itu pula akan menjadi najis dan akan mengalir ke paha saya, kaki saya dan juga lantai. ini akan menyusahkan saya untuk menyucikan semua itu. saya pula ada was was yg teruk
4. saya menggunakan hos shower. ketika saya ingin sucikan sesuatu, peluh saya jatuh dan terkana air yang keluar dari hos itu. jadi adakah air basuhan itu menjadi musta’mal atau kekal suci?
(panel-panel tolonglah doakan saya agar saya sembuh dari was-was. was-was saya dah dalam keadan teruk. kadang-kadang saya rasa seakan ibadah saya semua tak sempurna & tak diterima Allah SWT, menyebabkan skrg ni saya banyak tinggalkan solat saya)
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapatnya najis dari segi ainnya, warna, bau atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing atau selainnya sehingga hilang warna, bau dan rasa.
Merujuk kepada persoalan tuan, Islam menghukum berdasarkan sesuatu yang jelas sahaja. Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
اليقين لا يزول بالشك
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Oleh itu:
1) Kaki tuan tidak bernajis.
2) Cukup sekadar basuh kawasan yang terdapatnya najis.
3) Boleh basuh kawasan kemaluan yang bernajis secara terus dengan menggunakan sabun dan juga air. Air basuhan yang lalu mengenai anggota badan seperti peha dan kaki tidak akan menjadikannnya bernajis, melainkan sekiranya terdapat najis yang melekat padanya. Perkara ini biasanya tidak berlaku pada najis air kencing yang akan hilang bersama aliran air.
4) Peluh tidak dikira sebagai najis tetapi dikategorikan sebagai kotoran sahaja. Sehubungan itu, air basuhan tersebut tidak menjadi musta'mal dan kekal suci.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.