Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Ada ke solat sunat yang 4 rakaat 1 salam? Sewaktu saya cari berkenaan solat-solat sunat di laman web ni. Ada saya terjumpa solat yang dilakukan dengan 4 rakaat 1 salam.
Kalu ada, macam mana? Solat apa je yang ada 4 rakaat 1 salam ni? tak buat tahiyat awal? tak kena sujud sahwi ke?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, terdapat solat yang boleh dilakukan dalam keadaan 4 rakaat 1 salam seperti:
1. Solat sunat qabliyyah dan ba'diyyah Zohor, serta solat sunat ba'diyyah Isya'. Harus ditunaikan dengan 4 rakaat 1 salam, tapi afdhal dengan 4 rakaat 2 salam. Jika dilakukan 4 rakaat 1 salam, boleh membaca tahiyyat awal atau tidak, tanpa perlu sujud sahwi.
2. Solat Tasbih. Disunatkan jika ditunaikan pada waktu siang dengan 4 rakaat 1 salam. Namun jika ditunaikan pada waktu malam disunatkan dengan 4 rakaat 2 salam.
Tambahan pula, sunat dilakukan bagi solat sunat pada waktu malam berbanding solat sunat pada siang hari dengan dipisahkan menjadi 2 rakaat 1 salam, hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW seperti:
Maksudnya: Solat sunat pada malam hari dilakukan 2 rakaat 2 rakaat. (Riwayat Muslim)
Justeru, solat sunat 4 rakaat 1 salam sebelum (qabliyah) fardu dan selepas (ba’diyah) adalah harus. Akan tetapi afdal dipisahkan menjadi 2 rakaat dengan 2 salam iaitu 1 salam bagi setiap 2 rakaat kerana berlaku pertambahan niat, takbir, tasyahud (tahiyat) dan juga salam yang mana ia mengundang ganjaran tambahan.
Sekian, terima kasih.