Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalamulaikum,
saya ingin bertanya tentang solat jummat jika bermusafir bermula pada hari khamis. apakah hukum dan perlukah solat jumaat perlu ditunaikan?
saya dari kl dan ingin bermusafir ke terengganu selama 4 hari.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, hukum asal solat Jumaat bagi seorang yang Islam, baligh, berakal, merdeka (bukan hamba), lelaki dan sihat tubuh badan adalah wajib. Namun, di sisi mazhab Syafi'i hukum bagi orang yang bermusafir adalah tidak wajib ke atasnya solat Jumaat sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya al Majmu’: tidak diwajibkan solat Jumaat ke atas orang musafir dan ini adalah pegangan mazhab kami yang tiada perselisihan dalam kalangan kami. Bagi mendapatkan rukhsah untuk tidak menunaikan solat jumaat semasa bermusafir hendaklah seseorang tidak berniat untuk tinggal melebihi 3 hari, tidak termasuk hari sampai dan hari keluar.
Walau bagaimanapun, sekiranya hari pertama bermusafir adalah hari Jumaat, bagi seorang lelaki itu perlu keluar daripada kawasan perumahan tempat di mana dia tinggal sebelum masuk waktu solat Subuh untuk mendapat keuzuran tidak menunaikan solat jumaat. Namun seandainya keluar selepas masuk waktu solat Subuh, maka solat Jumaat adalah wajib. Justeru, mengikut situasi yang puan ceritakan, maka tidak wajib bagi seseorang itu melakukan solat Jumaat kerana berada dalam keadaan seorang yang musafir. Walau bagaimanapun, tidak menjadi suatu kesalahan bagi mereka yang musafir turut melakukan solat Jumaat bahkan digalakkan jika mempunyai masa dan keadaan yang mengizinkan.
Sekian, terima kasih.