Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Nama saya Firdaus dari Bandar Tasik Puteri, Rawang. Saya nak bertanya tentang hutang kepada orang yang telah meninggal dunia.
Akibat kesempatan hidup, saya berhutang sebanyak RM6,000 dari Ibu saudara saya dan dia meninggal dunia sebelum saya sempat melangsaikan hutang saya. Alhamdulillah Allah kurniakan rezeki kewangan baru-baru ini dan saya ingin melangsaikan hutang tersebut.
Allahyarhamah ibu saudara saya tidak mempunyai anak dan suami. Dia ada:
1. seorang kakak (telah meninggal dunia, mempunyai 3 anak lelaki dewasa dan 2 anak perempuan dewasa)
2. Seorang adik lelaki (telah meninggal dunia, mempunyai seorang Balu, 2 anak lelaki dewasa dan 1 anak perempuan dewasa)
3. Seorang adik lelaki 78 tahun yang masih hidup
4. Tiga orang adik perempuan dewasa yang masih hidup (semua berumur lebih 60 tahun).
Minta pandangan tuan mufti bagaimana cara untuk saya menyelesaikan hutang saya tersebut serta bahagian2nya (lelaki dan perempuan atas hutang saya tersebut).
*** ibu saya, Bapa saudara saya dan seorang ibu saudara saya telah bersetuju untuk saya mewakafkan bahagian mereka masing2 kepada baitulmal atau masjid. Saya belum bertanya kepada lain2 waris lagi.
Terima kasih tuan
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, pada asasnya, seandainya adik beradik lelaki dan adik beradik beradik perempuan yang meninggal dunia itu meninggal selepas kematian si mati, maka mereka berhak mendapat harta pusaka. Oleh itu harta (hutang) tersebut dibahagikan antara 3 adik beradik lelaki dan 4 adik beradik perempuan dengan nisbah 2 bahagian lelaki dan 1 bahagian perempuan.
Namun seandainya mereka meninggal dunia sebelum si mati meninggal dunia, maka mereka tidak berhak mendapat harta pusaka dan harta (hutang) tersebut dibahagikan antara 1 adik beradik lelaki dan 3 adik perempuan dengan nisbah 2 bahagian lelaki dan 1 bahagian perempuan.
Untuk mendapatkan kepastian serta penjelasan lebih lanjut, sila hubungi bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor bagi mendapatkan khidmat dan nasihat berkaitan faraid secara percuma ditalian 03-55143773 atau boleh hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah yang berdekatan dengan tempat tinggal.
Sekian, terima kasih.