BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt

Ustaz,

Pihak kami ingin bertanyakan soalan mengenai situasi pesakit yang sudah lama berada di hospital/wad bagi mendapatkan rawatan. Terdapat pesakit yang memohon untuk pergi menunaikan solat Jumaat di surau hospital. Polisi sedia ada di hospital kami adalah pesakit tidak dibenarkan untuk meninggalkan bangunan hospital. Ini bertujuan untuk menjaga keselamatan pesakit dan mengelakkan dari perkara yang tidak diingini berlaku. Persoalan kami adalah:

  1. Apakah definisi keuzuran bagi seseorang meninggalkan solat Jumaat?
  2. Hukum pesakit yang meninggalkan Solat Jumaat melebihi 3 kali Jumaat berturut-turut kerana mendapatkan rawatan. Contohnya rawatan pemulihan (rehabilitasi).

Diharapkan persoalan ini dapat dijawab oleh pihak ustaz untuk dibawa kepada pengurusan hospital untuk tindakan selanjutnya.

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

  الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Keselamatan dan kebajikan pesakit yang ditempatkan di wad hospital adalah berada di bawah tanggungjawab penuh pihak hospital. Keputusan pihak hospital menentukan pesakit untuk ditempatkan di wad adalah berdasarkan kepada keperluan rawatan dan pemantauan secara berkala bagi merawat pesakit sehingga kembali pulih. Kebenaran kepada pesakit untuk keluar daripada wad bagi menunaikan solat fardhu Jumaat mempunyai risiko yang besar seperti;

  1. Penyakit lambat sembuh atau semakin teruk disebabkan banyak pergerakan.
  2. Pesakit terdedah kepada jangkitan kuman di luar.
  3. Pesakit memakan makanan selain yang disediakan oleh pihak hospital yang boleh menyebabkan keracunan dan sebagainya.
  4. Menimbulkan kegusaran kepada jemaah lain di masjid sekiranya pesakit menghidapi penyakit berjangkit.
  5. Berlaku jenayah ke atas pesakit.

Kaedah fikah menyatakan bahawa;

 لا ضرر ولا ضرار

Maksudnya: Tidak boleh memudharatkan dan tidak boleh membalas kemudharatan dengan kemudharatan.

Sekiranya pesakit yang mampu untuk solat, maka memadai dengan solat fadhu Zohor di dalam wad. Solat Jumaat yang ditinggalkan tidak menyebabkan dosa walaupun melebihi 3 kali Jumaat disebabkan keuzuran menjalani rawatan. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 45

message user image