BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Asslamualaikum Tuan/Puan, maaf saya ingin bertanya beberapa soalan:

1. Tangan saya berminyak kerana menyentuh muka yang berminyak dan kemudian tangan tersebut menyentuh najis, Adakah tangan tersebut yang terkena najis cukup disucikan dengan menghilangkan zat najis sahaja tanpa menghilangkan kesan minyak tersebut.

2. Apakah hukum menyentuh air liur dan bulu kucing yang memakan makanan mengandungi babi.

3. Hukum solat dengan mulut masih rasa makanan walaupun telah berkumur beberapa kali.

4. Jika mulut bernajis kerana berdarah atau termakan sesuatu yang najis, adakah cukup berkumur sahaja tanpa menggosok gigi kerana terdapat sisa makanan sedikit pada mulut.

5. Saya pernah melihat anjing minum air pancut di pasaraya. Seminggu selepas itu saya datang semula dan melalui kawasan air pancut tersebut tetapi tidak terlalu dekat. ketika lalu saya perasan terdapat 2 titik percikan air pada seluar dan kaki yang saya khuatiri daripada air pancut itu. bagaimanakah hukumnya kerana perkara ni dah lama berlaku dan saya dah basuh baju bersama baju yang lain tanpa sertunya. Sebelum ini saya ambil kaedah seseuatu yang yakin tidak dihilangkan dengan syak kerana saya tidak nampak secara jelas percikan yang mengenai seluar tersebut daripada air pancut . Adakah betul tindakan saya. Saya sertakan gambar air pancut itu.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapat najis sama ada dari segi ain, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila ia jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. 

1) Memadai dengan menghilangkan najis tanpa perlu menghilangkan minyak tersebut.

2) Kucing yang memakan makanan yang menggandungi babi tidak menjadikan air liur atau bulu kucing tersebut menjadi bernajis. Melainkan sekiranya dapat dipastikan terdapat sisa makanan mengandungi babi tersebut terdapat di dalam air liur kucing tersebut.

3) Sekiranya tertelan sisa makanan yang sedikit tanpa disengajakan maka tidak membatalkan solatnya. Begitu juga, sekiranya sisa makanan bercampur dengan air liur serta susah untuk membezakannya dan tertelan dengan tidak sengaja disebab kesukaran menghalangnya, maka tidak membatalkan solat. Namun sekiranya tertelan sisa makanan dengan kuantiti yang banyak mengikut anggapan umum, sama ada dengan sengaja atau tidak maka batal solatnya.

4) Cukup sekadar dengan berkumur-kumur jika dapat dipastikan tiada lagi sisa makanan bernajis yang terdapat di dalam mulut. Namun lebih baik untuk memberus gigi untuk memastikan mulut lebih bersih. 

5) Percikan air tersebut tidak bernajis dan tidak menajiskan yang lain. Oleh itu,  tidak perlu di sertu pakaian tersebut. Jilatan anjing tersebut tidak menjadikan air pancut tersebut menjadi bernajis sekiranya air itu banyak dan tidak menyebabkan berubah sifat air tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 27

message user image