BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya ada 1 pertanyaan. Saya merupakan seorang remaja perempuan awal 20-an, yang mempunyai masalah gatal yang teruk pada bahagian kaki dan tangan. Saya telah berjumpa dengan ramai doktor pakar kulit dengan mengatakan bahawa gatal tersebut disebabkan eczema. Perkara ini sudah terjadi hampir 10 tahun lebih dan menjadi semakin teruk pada waktu sekarang. Ada seorang pakar perubatan tradisional mengatakan bahawa gatal tersebut disebabkan kena ludah orang tua. Saya mempunyai niat untuk pergi ke tempat perubatan Islam. Boleh ustaz jelaskan apa yang dimaksudkan dengan kena ludah orang tua, adakah bahaya? Saya harap ustaz dapat membalas pertanyaan saya, untuk saya memilih insiatif lain iaitu berjumpa dengan pakar perubatan islam selain berjumpa dengan doktor pakar kulit.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Istilah terkena ludah orang tua seringkali dijadikan sebagai satu kepercayaan dalam kalangan masyarakat terdahulu. Ungkapan ini juga merujuk kepada kepercayaan bahawa tindakan atau ucapan orang tua boleh membawa pengaruh buruk atau nasib sial. Namun begitu, tidak ada istilah khusus yang menyatakan ungkapan sebegitu di dalam Islam. Akan tetapi Islam sangat menekankan prinsip menghormati dan mengambil nasihat daripada kedua orang tua.

Justeru, berhubung dengan permasalahan yang berlaku. Islam tidak melarang seseorang supaya berikhtiar dalam mencari penawar bagi sakit yang dialami. Tidak menjadi kesalahan jika saudari berhasrat untuk melakukan rawatan menggunakan kaedah rawatan Islam sebagai langkah ikhtiar. Namun begitu, perlu dipastikan agar setiap rawatan tersebut bebas daripada sebarang bentuk khurafat yang bercanggah dengan konsep rawatan Islam yang sebenar. Semoga Allah SWT memberikan kesembuhan seperti sediakala dan dipermudahkan segala urusan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 38

message user image