BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t.,

Tuan,

Saya mempunyai sedikit kemusykilan berkenaan pekerjaan yang ada hubung kait dengan syarikat bank. Contoh situasi, saya ingin mencari kerja di satu syarikat keselamatan yang menyediakan khidmat keselamatan termasuk pengawal keselamatan di bank. Saya ingin bekerja di syarikat itu sebagai pegawai tadbir. Tetapi saya musykil adakah boleh saya bekerja di syarikat yang memberi perkhidmatan keselamatan kepada bank kerana bank ada hubung kait dengan transaksi yang melibatkan riba. 

Mohon penjelasan tuan. Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
 

Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umumnya pekerjaan yang diharamkan di dalam sistem perbankan konvensional adalah mereka yang terlibat secara langsung dengan kontrak riba, sebarang kerja yang memerlukan seorang Muslim untuk membuat kontrak riba, atau menjadi perantara dalam melakukannya seperti berunding dengan pelanggan, mendorong kontrak ditandatangani atau menandatangani bagi pihak bank atau kerja-kerja lain yang berkaitan secara langsung dengan membuat kontrak berasaskan riba yang berkaitan dengan simpanan atau pembiayaan dalam bank yang berasaskan riba adalah diharamkan. Pekerjaan selain daripada itu yang tidak selagi ianya selari dengan panduan syarak maka ianya adalah diharuskan seperti kakitangan pembersihan, pengawal keselamatan dan lain-lain pekerjaan yang tidak ada kaitan dengan transaksi riba yang diharamkan. Walau bagaimanapun ia masih terdapat syubhah kerana membantu di dalam perkara yang diharamkan oleh Syarak, maka adalah lebih baik untuk ditinggalkan.
 

Oleh itu, secara asasnya pekerjaan sebagai pegawai tadbir di syarikat kawalan keselamatan yang memberikan perkhidmatan kepada bank-bank konvensional tidaklah terlibat secara langsung dengan kontrak riba yang ditawarkan oleh syarikat kawalan keselamatan.
 

Namun sekiranya syarikat kawalan keselamatan tersebut hanya memberikan khidmatnya kepada bank-bank yang urusannya hanyalah perbankan konvensional atau majoriti urusan perbankan adalah perbankan konvensional maka sebaiknya carilah syarikat lain sebagai tempat untuk mencari rezeki yang halal lagi berkat ini kerana berdasarkan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 34

message user image