BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamua'laikum tuan/puan/ustaz/ustazah.

 

 Saya ada pertanyaan tentang rumah tangga saya.

 

Baru baru ini saya ada sedikit salah faham dengan isteri dan dalam keadaan marah dan tidak sengaja telah melafazkan ayat seperti ini, -" takpa takpa,aku lepaskan hang"-.

 

Adakah sah jatuh talak walaupun saya dalam keadaan tidak berniat.

 

Dan setelah itu saya bersama isteri ada melakukan bersetubuh dengan rela dan saya sempat melafazkan rujuk seperti ayat ini, "DENGAN NAMA ALLAH,AKU INGIN MERUJUK MU KEMBALI (-NAMA ISTERI-) UNTUK MENJADI ISTERIKU SEMULA.

 

Adakah sah rujuk kami suami isteri walau tiada kerelaan isteri

 

Mohon pencerahan dan jawapan dari pihak tuan/puan/ustaz/ustazah


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Terdapat dua jenis talak berdasarkan kepada lafaz yang diucapkan oleh suami. Pertama: talak sorih (jelas), dan kedua: talak kinayah (tidak jelas). Talak sorih, seperti ucapan suami kepada isteri: "Aku ceraikan engkau", atau "Aku talakkan engkau" dan sebagainya maka talak akan berlaku walaupun tanpa niat, walaupun suami hanya bergurau senda.

Yang kedua adalah talak kinayah (tidak jelas), ia seperti ucapan suami kepada isteri: "Kau bukan isteri aku", "Antara kita tidak ada hubungan lagi" "Aku hantar kau ke rumah ibubapa kau" dan sebagainya maka ia bergantung kepada niat suami. Seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak. Namun, jika suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.

Maka, menjawab pertanyaan yang diajukan:

Lafaz suami yang berbunyi: "takpa takpa,aku lepaskan hang" boleh dianggap sebagai ucapan kinayah (lafaz yang tidak sorih atau jelas). Perkataan tersebut boleh membawa pelbagai maksud yang boleh ditakwil seperti melepaskan tanggungjawab dan sebagainya. Oleh yang demikian, jatuh atau tidak lafaz kinayah tersebut, adalah  bergantung kepada niat suami. Seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak. Seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.

Dalam menentukan niat atau perkara dalaman atau batin seperti ini, pengakuan suami adalah amat penting. Ini adalah kerana pengakuan suami akan menjadi penentu sama ada talak berlaku atau pun tidak. Sekiranya talak tidak dihukumkan jatuh maka rujuk juga tidak berlaku. Oleh itu, segala tanggungjawab adalah terletak di bahu suami terhadap pengakuan yang dibuat seandainya pengakuan yang dibuat adalah tidak benar. Ini berdasarkan kepada kaedah Fiqh:

نحن نحكم بالظواهر والله يتولى السرائر

Maksudnya: Kita (manusia) menghukum sesuai berdasarkan kepada yang zahir, manakala Allah SWT menentukan perkara yang tersembunyi. 

Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan pandangan serta pengesahan lebih lanjut, puan boleh merujuk kepada kepada Pejabat Agama Islam Daerah atau Mahkamah Syariah yang berhampiran sebagai pihak yang berautoriti menentukan sama ada sesuatu lafaz ini boleh membawa kepada jatuhnya talak atau sebaliknya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 51

message user image