BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada persoalan berkaitan tajaan di dalam sesebuah pertandingan atau majlis, apa hukum orang islam menyertai pertandingan yang di taja oleh ramai pihak atau syarikat, yang mana salah satu dari mereka merupakan syarikat yang menjalankan perniagaan yang haram seperti judi. Sekiranya boleh adakah hadiah yang diberikan itu boleh diterima oleh peserta muslim.

Saya jadi musykil apabila kebanyakan pertandingan diperingkat antarabangsa seperti FIFA World Cup atau sukan olimpik akan ada syarikat judi atau arak yang menaja pertandingan tersebut walaupun 7 daripada 8 penaja merupakan syarikat yang melakukan perniagaan yang halal.

Saya dahulukan ucapan terima kasih atas keperihatinan dari tuan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara asasnya, Islam melarang penyertaan dalam mana-mana pertandingan yang ditaja, didanai atau dipromosikan oleh syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan yang dilarang oleh syarak. Sekiranya penyertaan tidak dibenarkan, maka penerimaan hadiah daripada syarikat-syarikat ini juga tidak dibenarkan. Ini kerana, perbuatan menyertainya dilihat secara langsung sebagai tanda sokongan serta merestui apa yang dilakukan oleh penganjur tersebut.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Nu’man Ibn Bashir R.A, Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ

Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu telah jelas dan perkara yang haram itu telah jelas. Dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar), tidak diketahui oleh ramai kalangan manusia. Barang siapa yang menjaga diri dari perkara-perkara syubhat tersebut, maka dia telah menjaga kesucian agama dan kehormatannya. Barang siapa terjatuh ke dalam perkara syubhat, maka dia telah terjatuh kepada perkara haram. (RIwayat Muslim)

Justeru di atas dasar untuk mengelakkan perkara-perkara syubhah, maka perkara seperti ini perlu dijauhi dan dielakkan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 33

message user image